TARIKH 8 November dikatakan menjadi pilihan balu kepada penyanyi nasyid, Allahyarham Suhaimi Saad, Ina Naim untuk mengakhiri zaman janda.
Ina yang juga seorang penyanyi dikatakan akan berkahwin dengan lelaki bernama Mohd. K. Setakat ini identiti lelaki pilihan Ina atau nama sebenarnya Nordiana Md Naim, 40, itu masih tidak diketahui umum.
Berita perkahwinan kedua Ina sebelum ini tular dalam media sosial sejak pertengahan Oktober lalu dan nama anggota Hijjaz iaitu Isman Nadim Isam dikaitkan sebagai calon suami baharunya.
Bagaimanapun, Isman menafikan dakwaan tersebut selain mengakui tidak mengetahui tentang perancangan perkahwinan berkenaan.
“Alhamdulillah, melihat pada kad undangan yang tersebar, nama lelaki terbabit sudah jelas bukan saya. Syukur, semua teka-teki nama calon suami Ina adalah Mohd. K dan bukan Isman.
“Sebenarnya apabila nama saya disebut-sebut itu, saya ada hubungi Ina dan bertanya kepadanya. Memang dia mengaku dengan saya akan berkahwin pada awal November depan, tapi tarikhnya tidak dimaklumkan.
“Ina juga beritahu saya, calon suaminya dalam kalangan orang biasa saja dan bukan artis. Itu saja yang saya diberitahu oleh Ina mengenainya,” katanya.
Terdahulu, tular kad undangan perkahwinan ibu tunggal anak empat itu yang menunjukkan nama ibu bapa bakal pengantin perempuan iaitu Mohd. Naim Samijan dan isteri, Norini Masuh.
Majlis pernikahan dikatakan akan berlangsung pada tarikh 8 November ini di Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi, Johor iaitu kampung halaman Ina dan keluarga, tetapi nama penuh pengantin lelaki ditutup.
Ina sebelum ini berkahwin dengan Suhaimi atau Mohd Suhaimi Saad, 43, pada 12 Ogos 2007.
Bekas anggota kumpulan nasyid In-Team itu kemudian meninggal dunia pada 15 November tahun lalu akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan empat anak iaitu Ehmad Hadie Elfardie, Sallman Elkhoyri, Phyrosh Elfadwah dan Nur Layla Elghufrony. – HIBGLAM