Imbau fenomewa Tsumawi di Mega Star Arena

PERNAH mencipta gelombangnya sendiri dua dekad lalu, Mawi bakal mengulang kembali zaman kegemilangannya menerusi konsert Tsumawi Mawi World Live In Kuala Lumpur tahun depan.

Bakal berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada tanggal 25 Januari 2025, Mawi akhirnya bakal muncul dengan konsert solo yang sudah menjadi impiannya sejak dinobatkan sebagai juara Akademi Fantasia musim ketiga (AF3).

Menurut Mawi atau nama penuhnya Asmawi Ani, konsert tersebut sebagai tanda terima kasih kepada peminat yang tidak pernah berhenti menyokong kerjaya nyanyiannya selama ini.

“Ini merupakan hadiah untuk peminat dan sebagai tanda saya masih ‘bernyawa’ dalam dunia nyanyian. 

“Saya gembira akhirnya berjaya merealisasikan konsert solo sendiri setelah sekian lama tidak berada di atas pentas besar.

“Pada dasarnya, saya mahu meraikan ulang tahun ke-20 bergelar penyanyi. Sebelum ini sudah ada perancangan dilakukan tetapi belum diizinkan-Nya. Hanya baru sekarang semua itu dapat  direalisasikan,” katanya.

Bagi anak kelahiran Felda Taib Andak, Kulai, Johor itu, dia mengakui tidak berfikir panjang apabila ditawarkan peluang mengadakan konsert berskala besar.

Mawi sanggup ‘menggadaikan’ rambut demi kelangsungan konsert yang dijadualkan berlangsung tahun hadapan.

“Apabila tawaran nak buat konsert ini hadir, saya tak fikir panjang dan terus terima. 

“Secara kebetulan, mereka tidak mempunyai sebarang konsep ketika menawarkan peluang tersebut, jadi saya ‘jual’ konsep dan idea yang sudah dirancang awal.

“Alhamdulillah, mereka terima idea saya,” katanya lagi yang sanggup membotakkan kembali rambutnya demi konsert tersebut.

Masih kuat rasa kehangatan dan sokongan peminat setia sejak zaman AF3, dia bakal menghiburkan peminat dengan rangkaian lagu-lagu popular seperti Aduh Saleha, Kian, Lagu Cinta Lagu Jiwa, Cinta Zulaikha dan banyak lagi.

“Memang banyak kenangan manis saya dengan AF3. Itu juga sebenarnya banyak membakar semangat untuk terus mengadakan konsert.

“Ramai sudah mula minta macam-macam lagu termasuk yang pernah didendangkan dalam AF3 dahulu. Kata mereka, semua itu boleh menggamit memori lama.

“Insya-Allah, sudah ada banyak perkara dirancang memandangkan saya juga sudah sekian lama tidak berada di atas pentas besar. Sangat teruja untuk beraksi dan mengubat kerinduan ramai nanti,” jelasnya.

Menyasarkan 5,000 peminat, penyampai radio Zayan FM itu akan membawa beberapa nama besar ke atas pentas bersamanya pada konsert tersebut.

Dia bagaimanapun mahu merahsiakan nama-nama yang bakal berkongsi pentas dengannya namun tegasnya, kesemua yang akan dijemput adalah individu penting di sebalik kerjaya seni selama ini.

Mati hidup kembali

Dalam pada itu, Mawi sempat mengulas mengenai tanggapan negatif ramai mengenai perkongsiannya tentang ‘mati hidup kembali’ yang pernah didedahkan kepada umum sebelum ini.

Enggan mempedulikan pemikiran negatif orang ramai, dia mengakui kejadian yang berlaku hampir sedekad lalu itu memberi impak besar dalam hidup dari segi kerjaya.

“Sebelum terkena penyakit mistik tersebut, saya pernah terfikir nak tinggalkan bidang seni. Keluarga ada juga meminta melakukan perkara sama.

Artikel yang pernah diterbitkan akhbar Kosmo! ketika nama Mawi berada di puncak suatu ketika dahulu.

“Selepas insiden ini, saya seperti dilahirkan semula dan sejak itu, mula terfikir buat skrip dan terbitkan filem. Kalau menyanyi pun, saya nak nyanyi lagu ciptaan sendiri sahaja.

“Kalau orang nak cakap saya jual kisah sebegitu untuk raih simpati dan perhatian, biarkan sahaja sebab yang melaluinya sahaja memahami,” kongsinya lagi.

Mengakui perasaan ingin bersara dari dunia hiburan pernah terbit dalam jiwanya, dia terkejut rezeki mengadakan persembahan semakin mencurah-curah.

“Ketika saya sibuk fikir nak tinggalkan dunia seni, tiba-tiba tawaran buat persembahan makin banyak termasuk konsert solo ini.

“Saya dapat banyak undangan untuk buat persembahan di masjid, surau dan institut pengajian tinggi. Saya juga sering dijemput ke majlis ilmu untuk berkongsi pengalaman.

“Tak sangka, semuanya seperti dunia baharu selepas kejadian mistik tersebut. Syukur Allah SWT hadirkan banyak perkara baik,” ujarnya lagi.

 



Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok