DUA bulan tidak sebumbung, pelakon Nur Fazura kecewa apabila Fattah Amin tidak berusaha memujuk atau menawan semula hatinya, sebaliknya hanya menghantar mesej menerusi Whatsapp.
Kata Nur Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddi, 41, aktor terbabit cuma menyatakan keinginan mahu bertemu dua pasang mata selepas dia memfailkan permohonan perceraian.
“Dah tak sebumbung dua bulan. Dalam tempoh itu pun saya mengharapkan suami datang memujuk. Bukan setakat Whatsapp mesej ‘selamat pagi’, ‘selamat maaf’, ‘saya minta maaf’.
“Saya harapkan lebih daripada itu, datang ke rumah (jumpa) walaupun saya tengah marah. Sebagai isteri kadangkala kita mungkin marah, saya harap dia bersungguh pujuk, bukan mesej sahaja,” katanya kepada HibGlam, di sini hari ini.
Menurutnya, dia berdoa agar Allah membuka hati bersungguh-sungguh untuk berjumpanya bagi menyelesaikan kemelut antara mereka.
“Saya bercakap benar dan Allah mendengar. Allah tahu saya tak tipu. Saya bukan cakap nak selamatkan diri saya sahaja atau apa.
“Dia ada datang beberapa kali untuk jumpa anak, dia datang lagi sehari sebelum cerai untuk ambil pakaian dan ada dia datang pada hari saya failkan penceraian.
“Memang ada banyak kali juga saya cakap tak mahu jumpa. Tapi, dalam keadaan hati saya remuk, saya berdoa kepada Allah agar dia datang bersungguh-sungguh pujuk saya. Mungkin saya lembut hati waktu itu. Dalam dua bulan itu tak ada inisiatif yang benar-benar dia nak memujuk saya,” ujarnya.
Aktres yang ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari itu berkata demikian selepas sah bercerai talak satu dengan Fattah Amin, pukul 9.45 pagi tadi.
Menurutnya yang mengakui bersedih biarpun perpisahan tersebut adalah kehendaknya, pintu hati sudah tertutup selepas Fattah curang, tidak memberi nafkah serta tiada persembahan antara mereka.
Selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga, pasangan terbabit sah bercerai apabila Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd. Amin, 33, melafazkan cerai talak satu pada pukul 9.45 pagi di hadapan Hakim Syarie Abdul Malik Soleh.
Ia selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan Fazura mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Dalam prosiding terdahulu, mahkamah dimaklumkan Fattah belum bersedia untuk bercerai dengan Fazura.
Sebelum ini, status rumah tangga pasangan itu sering menjadi sorotan selepas timbul dakwaan keharmonian mereka diganggu orang ketiga.
Fazura dan Fattah telah berkahwin pada 27 November 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Nur Fatima Aisya, 4. – HIBGLAM