SELEPAS bersara dari dunia lakonan, langkah pelakon Hairul Azreen semakin panjang apabila dipilih menjadi pemain profesional sukan atas talian pasukan Selangor Red Giants Esports.
Berjanji akan melakukan yang terbaik, Hairul atau nama sebenarnya Hairul Azreen Idris, 36, menzahirkan rasa syukur atas kepercayaan diberi pasukan itu.
“Alhamdulillah, selepas berhenti berlakon sekarang saya dipilih menjadi pro player (pemain profesional) pasukan merah kuning iaitu Selangor Red Giants Esports.
Saya sebagai pemain lorong tengah, simpanan. Saya akan lakukan yang terbaik. Jumpa pada Februari 2025 nanti,” katanya menerusi sebuah video dalam TikTok.
Bagai ikan pulang ke lubuk, pelakon filem Paskal itu gembira apabila dapat menyarung kembali jersi pasukan Selangor selepas 20 tahun.
Semakan menerusi ruangan komen, rata-rata netizen turut teruja dengan khabar gembira tersebut selain turut memberikan sokongan penuh terhadap suami kepada Hanis Zalikha itu.
“Wah! mantap Hairul, buat yang terbaik. Ketar ketir la pasukan lawan nanti, semoga berjaya,” komen seorang netizen.
Tahniah! Hairul memang pro dalam permainan atas talian, moga dapat mengharumkan nama pasukan. Kami akan sokong sepenuhnya,” demikian komen seorang pengguna media sosial.
Difahamkan, bapa kepada dua cahaya mata itu sebelum ini pernah mewakili Selangor dalam kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) menerusi acara Taekwando pada 2004.
Sementara itu, menerusi hantaran akaun rasmi Selangor Red Giants Esports, pihak terbabit turut berkongsi berita sama dengan peminat sukan tersebut. – HIBGLAM