MESKI keretakan rumah tangga selebriti menjadi topik bualan ramai, pasangan pelakon Sweet Qismina dan Adam Lee selesa mengunci mulut daripada mengulas isu tersebut.
Mahu fokus menjaga rumah tangga sendiri, Sweet atau nama sebenarnya Farhanna Qismina Supandi, 27, berkata dia dan suami enggan masuk campur urusan orang lain bagi mengelakkan terheret dalam kontroversi sama.
“Apa-apa sahaja yang berlaku dalam industri sama ada kawan baik atau tidak kami ambil pendirian enggan ulas, kongsi atau sokong mana-mana pihak. Kami lebih selesa untuk berdiam diri.
“Sebagai manusia biasa, kami juga ada aib nak kena jaga dan ada rezeki yang Allah tengah jagakan. Kalau boleh tak mahu rosakkan apa yang kami ada sekarang. Lebih baik fokus kepada rumah tangga sendiri, tak mahu kena tempias,” katanya kepada HibGlam ketika majlis pelancaran filem Babah, semalam.
Senada dengan prinsip isteri, Adam atau nama sebenarnya Muhammad Arif Adam Mohamed Fadlee, 30, percaya setiap manusia diuji dengan dugaan berbeza dan enggan campur tangan.
“Saya rasa diam lebih baik. Macam kami sendiri, saya tak tahu apa yang berlaku dalam hubungan kami. Semua itu ketentuan Allah. Kita kena banyak berdoa.
“Nak mengulas lebih-lebih pun, industri seni ini kecil sahaja. Kemudian hari akan jumpa orang yang sama.
“Jaga aib sendiri dan jadikan semua itu sebagai pengajaran,” jelasnya.
Adam dan Sweet mendirikan rumah tangga pada 24 Oktober 2022 malah baru sahaja menyambut ulang tahun kedua perkahwinan mereka beberapa hari lalu. – HIBGLAM