PENYANYI juga balu kepada artis nasyid Suhaimi Saad, Ina Naim mengesahkan bakal bernikah dengan duda anak dua yang hanya diperkenalkan sebagai Mohd. K pada 8 November ini.
Ina atau nama sebenarnya Nordiana Mohd Naim, 40, berkata, pihaknya tiada niat merahsiakan perkara baik biarpun keputusan menerima lamaran pengusaha makanan terbabit turut direstui keluarga termasuk ibu bapa arwah suaminya.
“Sebelum terima lamarannya, saya bincang dengan anak-anak dan ibu bapa saya, bahkan turut mengambil kira pandangan keluarga dan adik-beradik arwah suami.
Mereka semua restui keputusan ini, apatah lagi bakal suami merupakan peminat Allahyarham Suhaimi serta mengidolakan keluarga kami serta cara arwah mendidik anak-anak.
“Saya pilih tidak menghebohkan majlis ini kerana hanya dibuat kecil-kecilan, tambahan pula ini perkahwinan kedua bagi kami,” katanya.
Sedar ada segelintir pihak luar menganggap keputusan naik pelamin semula selepas kematian suami terlalu cepat, ibu empat anak itu menyifatkan semuanya adalah aturan Allah.
Terima kasih kepada yang memahami dan buat mereka yang menganggap saya berkahwin semula terlalu awal, saya doakan semoga Allah bagi kefahaman yang baik.
“Percaya kepada qada dan qadar iaitu rukun iman keenam, semoga Allah bagi kefahaman yang lebih baik,” ujarnya.
Menurut Ina, dia mula mengenali calon suaminya yang berusia 41 tahun itu selepas sambutan Syawal lalu apabila lelaki terbabit memulakan salam perkenalan menerusi mesej di WhatsApp.
Pada mulanya saya tak layan tetapi selepas dia tidak berputus asa mencuba, akhirnya saya sambut tetapi paling penting anak-anak terima kehadiran bakal bapa tiri dengan terbuka.
“Saya nampak calon suami pun ikhlas menyayangi anak-anak saya. Dia juga mahu menjadi macam arwah Suhaimi, hendak mengajar anak-anak sendiri,” katanya mengenai bekas tenaga pengajar di Giat Mara itu.
Difahamkan bakal pengantin tidak bertunang sebaliknya keluarga lelaki datang merisik dengan membawa cincin tanda.
Sementara itu, sumber terdekat memaklumkan pernikahan pasangan terbabit dijadualkan berlangsung pada pukul 9 pagi sebelum disusuli majlis resepsi.
Terdahulu, khabar pernikahan Ina menjadi bualan selepas tular kad undangan perkahwinan tertera namanya bertarikh 8 November ini, namun dinafikan.
Susulan itu pelbagai reaksi diluahkan netizen menerusi laman sosial termasuk mempersoalkan keputusan mendirikan rumah tangga semula meski belum setahun suaminya meninggal dunia.
Ina berkahwin dengan Suhaimi atau Mohd Suhaimi Saad, 43, pada 12 Ogos 2007, namun Allahyarham meninggal dunia pada 15 November tahun lalu akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
Hasil perkongsian hidup selama 16 tahun, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ehmad Hadie Elfardie, Sallman Elkhoyri, Phyrosh Elfadwah dan Nur Layla Elghufrony. – HIBGLAM