Cerai: Kaka Azraff mohon beri ruang

PENYANYI Kaka Azraff, 35, belum bersedia untuk memberi sebarang penjelasan berhubung berita perceraiannya dengan bekas suami, Adam Azriff yang dilaporkan media hari ini.

Bagaimanapun, Kaka atau nama sebenarnya, Nor Atiqa Noor Azraff menerusi mesej ringkas kepada HibGlam memohon agar diberikan ruang buat masa sekarang.

“Salam. Maaf, beri Kaka ruang ya,” demikian katanya sebentar tadi.

Hari ini, Kosmo! melaporkan perkahwinan pemenang Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) itu dengan suami menemui noktah apabila mereka dikatakan bercerai talak satu.

Pengesahan lafaz cerai yang difahamkan dilakukan secara ekspres itu berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam, tengah hari tadi.

Sumber yang enggan dikenali berkata, Kaka dilihat hadir ke mahkamah seawal pukul 9 pagi tadi.

Bahkan, dia dan bekas suaminya dikatakan berpisah secara baik dan bersepakat dalam hal penjagaan tiga anak mereka.

Terdahulu, pasangan terbabit hanya bercinta selama tiga bulan sebelum diijabkabulkan sebagai suami isteri pada 14 Disember 2018.

Mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aslan, 5, dan Aryan, 3, dan Atta Adam, 15 bulan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok