Bukan ditumbuk, mata Nadia Brian bengkak kena bucu kerusi

BENGKAK seperti ditumbuk, pelakon Nadia Brian mendedahkan mengalami kecederaan pada bahagian mata selepas terjatuh dan terkena bucu kerusi gara-gara pening akibat mengamalkan diet ketat.

Berehat seketika bagi mendapatkan rawatan, Nadia atau nama sebenarnya Nadia Najwa Mohamed Rashid, 32, bagaimanapun berkata, dia tidak boleh mengambil cuti panjang memandangkan sudah terikat dengan komitmen kerja.

Ya betul, saya terjatuh dan terkena bucu kerusi. Mata pun jadi bengkak macam kena tumbuk.

“Sekarang saya tengah berehat dulu, tapi ada beberapa komitmen kerja yang perlu dilunaskan seperti menghadiri acara dan sesi penggambaran untuk projek teater Disember nanti,” katanya ketika dihubungi HibGlam.

Tambah pelakon filem Ratu Kala Jengking itu, kejadian tersebut memberikan pengajaran buat dirinya tentang kepentingan menjaga pemakanan walaupun sibuk bekerja.

Sebenarnya saya terlalu fokus dengan diet sampai abaikan waktu makan. Bila dah sibuk, senang lupa makan, ditambah pula niat nak kurus cepat

“Ini satu pengajaran buat saya. Sibuk macam mana pun, pemakanan tetap perlu dijaga. Jangan diet yang tak betul sampai boleh menjejaskan kesihatan kita,” luahnya .

Mengakui kesibukan kerja sering menyebabkan waktu makan terabai, Nadia berharap pengalamannya itu menjadi iktibar buat mereka yang turut menghadapi rutin kerja yang padat.

Jangan rasa kita kuat walaupun tak makan. Tubuh kita perlukan tenaga untuk berfungsi, terutama bila kerja banyak.

“Keseimbangan nutrisi dalam diet amat penting, lebih-lebih lagi bagi orang yang aktif macam saya,” tegasnya.

Paling penting kata Nadia, setiap orang perlu menyeimbangkan antara menjaga berat badan dan kesihatan tanpa mengabaikan nutrisi penting dalam pemakanan harian. — HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok