SELEPAS membuat laporan polis berhubung kenyataan fitnah mengaitkan namanya dengan perceraian pasangan selebriti, Fattah Amin dan Fazura, penerbit juga pelakon popular, Datuk Rosyam Nor mendedahkan terdapat seorang individu tampil menghubunginya untuk membuat permohonan maaf.
Semuanya masih dalam proses, Rosyam atau nama sebenarnya Mohamed Nor Shamsuddin, 57, juga belum membuat keputusan untuk meneruskan tindakan saman terhadap individu tersebut.
“Ya, memang ada seorang dari Kedah, dia hubungi saya merayu minta maaf tapi tindakan lanjut saya kena bincang dengan peguam.
“Setakat ini saya tak tahu lagi apa yang patut dibuat seterusnya, tidak adil kalau dia minta maaf lepas tu dibiarkan dan lain dikenakan tindakan.
“Buat masa sekarang saya masih marah. Saya tak tahu apa tindakan seterusnya, tetapi pastinya saya akan bincang bersama peguam,” katanya kepada Kosmo! Online pada sidang media program Famili Duo musim keempat (FD4), di sini, hari ini.
Enggan lagi berkompromi mahupun berdiam diri daripada terus dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab, pelakon filem KL Gangster 2 itu bagaimanapun menegaskan tindakan undang-undang perlu dilakukan bagi menjaga kredibiliti dan nama baiknya.
“Saya ini terlibat dengan syarikat besar, saya juga ada keluarga. Semuanya terjejas dan terpalit.
“Ramai yang bertanya saya tentang isu itu sedangkan saya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan. Saya tak masuk campur urusan orang lain.
“Sebab itu saya buat laporan polis dan mahu ambil tindakan undang-undang. Saya berharap dengan tindakan saya ini akan membuka mata masyarakat, ” dedahnya.
Pada Khamis lalu, Rosyam membuat laporan polis selepas beberapa portal mengeluarkan kenyataan kononnya dia campur tangan dalam urusan rumah tangga pelakon Fattah Amin dan Fazura.
Dia juga turut menyenaraikan beberapa pengendali laman sosial yang mengaitkan namanya dalam isu berkenaan. – HIBGLAM