SUAMI tahu tanggungjawab, pelakon dan pengacara, Neelofa mendedahkan tidak pernah mengeluarkan wang untuk keperluan rumah sebaliknya semua itu diuruskan pasangan hidupnya, Haris Ismail.
Ujar Neelofa atau sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 35, Haris tidak membenarkan dia membeli barangan keperluan dapur menggunakan wangnya sendiri kerana percaya nafkah adalah tanggungjawab seorang suami.
“Sewa rumah, bil air dan api, barangan dapur semua saya tak pernah sentuh sejak berkahwin dengan Haris. Itu suami yang kena sediakan.
Kadang-kadang saya beli susu anak atau pergi beli barangan dapur, dia akan tanya mana bil.
“Kalau dia nampak saya beli barang dapur tapi tak minta dia duit, dia cakap jangan buat macam ni. Sebab dia kata itu bahagian (tanggungjawab) dia, jadi dia yang kena bayar,” katanya menerusi audio siar Richman Coffee bersama pelakon, Nora Danish dan pempengaruh Natasha M Ozeir.
Bagaimanapun, kata Neelofa, andai si suami tidak berkemampuan untuk menyediakan segala keperluan, isteri boleh membantu dengan persetujuan bersama.
Perlu bertoleransi selain menghormati pasangan, bekas pengacara Meletop itu percaya itu perlu dilakukan kerana suami adalah ketua keluarga yang akan memimpin isteri dan anak-anak.
“Kenapa perempuan kena ikut cakap suami, kena hormat suami? Sebab bila kita jadi anak perempuan, semua tanggungjawab adalah di atas bahu ayah kita.
Kemudian, seorang lelaki datang ambil kita (berkahwin), jadi rumah, makanan dan perlindungan semua tanggungjawab dia.
“Jadi kita berhak menghormati dia untuk dia pimpin keluarga. Sebab itu kena tunduk kepada suami,” kongsinya.
Neelofa mendirikan rumah tangga dengan Haris, 29, pada 27 Mac 2021 dan dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Muhammad Bilal, 3, dan Abdullah Abbas yang kini berusia setahun. – HIBGLAM