‘Biarlah dia main di taman, membesar macam kanak-kanak lain’

DIDAKAP bahagia sejak menggalas status suri empat tahun lalu apatah lagi selepas dikurniakan putera sebagai pelengkap rumah tangga, kehidupan pelakon Mira Filzah ternyata semakin sempurna.

Restu si suami, Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar yang mengiringi perjalanan karier seninya menambahkan lagi kesyukuran di dada Mira untuk mengimbangi tuntutan tanggungjawab terhadap keluarga dan komitmen lain.

Bahkan kehadiran si kecil, Wan Khair Amir yang kini hampir mencecah usia tiga tahun dianggap sebagai pencetus kematangan dalam melayari kehidupan.

Melihat putera kesayangan sudah lincah mencari teman bermain, pemilik nama sebenar Nur Amirah Filzah Badioezaman, 31, sebenarnya sudah bersedia menimang cahaya mata kedua.

Mira mengakui tidak menolak sekiranya dikurniakan rezeki lagi, namun menyerahkan segala-gala aturan kepada Allah SWT.

Memang ada perancangan menambah zuriat sebab Amir pun sudah hampir tiga tahun. Nampaknya dia suka berkawan.

“Sekarang Amir sudah bersekolah, dia pandai nak berkawan. Boleh nampak keseronokkannya terutama ketika bersama sepupu.

Tetapi saya cuma go with the flow. Sekarang saya masih lagi terikat dengan beberapa projek. Insya-Allah kalau ada rezeki tahun depan,” katanya.

 

Mira yang ditemui pada sidang media drama bersiri Hikayat Bawang Putih Bawang Merah turut mengulas mengenai kesediaan menerima lebih banyak tawaran untuk anak kecilnya terus aktif dalam dunia hiburan.

Luah selebriti yang menyerlah sejak 2010 menerusi drama Dunia Lola itu, dia dan suami belum memikirkan perkara tersebut memandangkan Amir masih terlalu kecil.

“Belum ada perancangan sebab dia masih muda. Ketika usianya enam hingga lapan bulan dia banyak terlibat dengan iklan komersial.

Tetapi projek untuk iklan dan promosi produk itu dengan saya dan selepas cecah dua tahun, nampak dia macam kurang selesa sangat berhadapan kamera.

“Jadi kami pun enggan memaksa sebab nak dia membesar macam kanak-kanak lain, main di taman dan sebagainya. Cuma kami tak akan menolak andai ada yang sesuai,” ujarnya.

MIRA teruja beraksi dalam naskhah muzikal epik, Hikayat Bawang Putih Bawang Merah yang disifatkan memberi impak besar apatah lagi dapat berganding dengan pengarah dan pelakon gandingan yang hebat seperti Nabila Huda.

Usai berkongsi perkembangan si permata hati, persoalan terarah pula kepada pembabitan dalam naskhah drama siaran Astro Ceria yang bakal menemui khalayak pada 21 Oktober ini.

Kongsinya, bergandingan dengan aktres versatil Nabila Huda yang membawakan watak ibu tirinya iaitu Mak Kundur memberi satu pengalaman mengujakan.

Menurut Mira, walaupun babaknya bersama Nabila tidak banyak, kehadiran pelakon tersebut bukan hanya menghidupkan cerita bahkan menceriakan set penggambaran.

“Drama ini hanya ada empat episod dan babak saya dengannya tak banyak. Kami bertembung di set pun dalam tiga hari sahaja, tetapi impaknya cukup besar.

Saya sangat enjoy. Sebenarnya faktor utama yang membuatkan saya teruja menerima tawaran Hikayat Bawang Putih Bawang Merah pun kerana Nabila serta pengarahnya, Datuk Yusry Abd. Halim.

“Pihak produksi ajukan tawaran sekitar Julai lalu, terus saya bersetuju melihat dua nama besar itu ditambah kehadiran ramai pelakon lain dan jalan cerita mesra kanak-kanak,” katanya.

Selain Mira dan Nabila, naskhah berkenaan turut dibintangi Kamal Adli, Tracie Sinidol, Lisa Surihani, Amalina Arham , Shah Kimin serta Rahim Omar.

DETIK cemas ‘bertembung’ dengan beberapa anak ular ketika adegan di sungai menjadi pengalaman yang menyeronokkan buat Mira sepanjang menjayakan naskhah Hikayat Bawang Putih Bawang Merah.

Bercerita pengalaman di lokasi penggambaran di kawasan hutan di Dengkil, Selangor, antara babak mendebarkan ketika Mira diletakkan dalam kurungan di dalam sungai.

Tambah aktres asal Ipoh, Perak itu, walaupun tidak terendam sepenuhnya di dalam air kehadiran haiwan berbisa membuatkannya berdebar-debar.

Adegan lain memang menyeronokkan tetapi ada satu babak saya tak boleh lupa iaitu beberapa ekor ular kecil lalu berhampiran saya.

“Alhamdulillah tiada sebarang kejadian tidak diingini. Dugaan kecil sahaja,” ulasnya.

Berperanan sebagai Putih, Mira bersama regu lakonnya, Kamal (putera raja) juga banyak menjayakan adegan menyanyi, namun dia enggan mengulas lanjut.

Tunggu, ada kejutan buat penonton. Memandang drama empat episod ini diselitkan elemen muzikal, tentu naskhah ini dikuatkan dengan lagu-lagu menarik,” tambahnya.

Berkongsi pula harapan tentang karier, Mira cuma berharap dapat kekal relevan selain mampu terus memberikan lakonan terbaik buat semua.

Biarpun sudah bergelar ibu, saya sedia menyahut cabaran menggalas pelbagai watak. Apa pun saya pasti penerbit serta pengarah juga maklum peranan sesuai untuk saya.

“Sebagai penggiat dalam industri ini, saya tidak boleh selesa sebaliknya sentiasa meningkatkan kualiti lakonan dengan banyak belajar,” tutupnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok