Nama pelawak, Jo Se-ho meledak dalam media sosial apabila dilaporkan berhabis RM1 juta demi menjayakan majlis perkahwinan yang berlangsung pada 20 Oktober lalu.
Lelaki berusia 42 tahun itu memilih Hotel Shilla di Seoul sebagai lokasi dengan kadar sewa sekitar RM70,000 sehari demi dewan bankuet mewah bagi menjadikan hari bahagianya benar-benar istimewa.
Lebih gah, majlis tersebut menyajikan hidangan eksklusif buat 900 tetamu yang hadir, dengan setiap hidangan dianggarkan berharga RM945 seorang menjadikan keseluruhan kos katering mencecah RM850,000.
Majlis itu turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa rakan selebriti seperti Kim Bum-soo, Taeyang, dan Gummy yang memukau tetamu dengan alunan suara mereka sekali gus menambahkan lagi nilai sentimental raja sehari itu.
Pelakon Lee Dong-wook pula diberi penghormatan sebagai wakil ucapan bagi pasangan pengantin, menjadikan saat itu lebih bermakna buat kedua-duanya.