PEMINAT K-pop pasti tahu bahawa selebriti Korea dilarang untuk menandakan atau menconteng tubuh mereka kendatipun ingin melukis tatu kecil.
Bukan kerana dipaksa agensi mahupun pihak pengurusan sebaliknya peraturan tersebut telah dikuatkuasakan syarikat penyiaran negara itu.
Menurut sebuah laporan, perkara tersebut berkait rapat dengan pandangan konservatif rakyat Korea tentang tatu yang dianggap haram dan lambang personaliti negatif kecuali dilakukan profesional perubatan untuk tujuan tertentu.
Sekiranya ada idola yang bertatu sebelum debut, mereka akan menutup bahagian itu dengan solekan dan hanya dibenarkan padam selepas selesai penggambaran atau persembahan.
Pun begitu, terdapat segelintir selebriti berani mati mempamerkan tatu mereka kepada umum dan mendapat pujian melambung.
Kimchi Panas minggu ini menampilkan beberapa selebriti K-pop yang terbuka menunjukkan tatu mereka di hadapan khalayak.
Chaeyoung
Mahu lebih bebas, anggota kumpulan Twice, Chaeyoung tidak lagi menyembunyikan tatu di badannya semasa membuat persembahan mahupun berada di tempat umum.
Pun begitu, idola berusia 25 tahun itu tidak menunjukkan tatunya secara terang-terangan kerana masih menghormati garis panduan yang telah ditetapkan syarikat penyiaraan.
Bagaimanapun, peminatnya sudah mengetahui kewujudan tatu gadis tinggi lampai itu yang jelas kelihatan dalam video latihan tarian Twice dan beberapa keping fotonya dalam media sosial.
Menurut sebuah laporan, tatu terbesar dimiliki idola putih gebu itu adalah di bawah punggungnya yang pernah dilihat sekilas peminat pada sesi latihan tarian Twice.
Selain itu, antara tatu yang dicacah Chaeyoung adalah berbentuk sepasang bibir di pergelangan tangan kirinya, lukisan jantung di belakang telinganya, dan ikan yang direka sendiri di siku kirinya.
Hyuna
Selain Jackson, penyanyi Hyuna juga mempunyai lebih 25 tatu di badannya malah sebahagian daripadanya ada ketika dia masih bersama kumpulan 4Minute.
Semuanya bersimbolik, antara lukisan tatu yang dimilikinya adalah empat wajah tersenyum di pergelangan tangannya dan tatu bentuk hati di belakang telinganya.
Bukan itu sahaja, dia juga mempunyai tatu ayat sentimental terletak di bahu kiri yang tertulis ‘My mother is the heart that keeps me alive’.
Menurut sebuah laporan, wanita berusia 32 tahun itu mencacah tatu tersebut sebagai dedikasi kepada ibunya yang sentiasa memberi sokongan malah terpaksa berjauhan seketika sewaktu dia menjadi pelatih idola.
Jackson Wang
Tidak terkecuali dalam senarai Kimchi Panas minggu ini anggota kumpulan Got7 iaitu Jackson Wang.
Idola berusia 30 tahun itu mempunyai tatu yang merujuk kepada latar belakang salasilah keluarganya.
Menerusi sebuah rancangan temu bual, jejaka tampan itu mengakui mempunyai lapan tatu di badannya dan setiap satu mempunyai makna dan nilai sentimental tersendiri.
Antaranya tatu dicacah berbentuk watak dan tulisan Cina yang dipercayai bawa tuah seumur hidup.
Terdapat juga tatu lukisan tanglung yang mengingatkannya tentang perayaan tanglung ketika dia kecil selain tatu zodiak Cina ibu bapanya sebagai tanda kasih sayang.
Jungkook
Siapa tidak mengenali anggota kumpulan BTS, Jungkook yang popular di arena muzik antarabangsa.
Menghabiskan masa yang lama membina karier dengan menyembunyikan tatu daripada dilihat orang ramai, idola berusia 27 tahun itu akhirnya memilih untuk mempamerkannya kepada peminat.
Segalanya bermula apabila pelantun lagu Seven itu memakai baju lengan pendek dalam musim kedua BTS In the Soop yang membolehkan peminat melihat sekilas tatu pada lengannya.
Menerusi video tersebut, Jungkook dilihat mempunyai lengan penuh tatu yang menampilkan lukisan ular, harimau, jam dan bunga termasuk nombor 7 di belakang telinganya (tatu persahabatan yang dikongsi oleh semua ahli BTS),
Lebih membuatkan peminatnya terharu, jejaka tampan itu turut mempunyai tatu tertulis Army (nama kelab peminat) di jarinya barangkali sebagai tanda terima kasih terhadap peminat yang menyokong kariernya sejak awal debut.