MENANG trofi Penyampai Radio Popular Anugerah Bintang Popular ke-36 (ABP36) bukanlah kunci buat ahli politik Khairy Jamaluddin terus kekal dunia penyiaran radio untuk selama-lamanya.
Khairy Jamaluddin Abu Bakar, 48, memberi isyarat akan kembali ke dunia politik walaupun bukan sekarang.
Katanya, dunia hiburan dan media yang diceburi sejak setahun lalu hanyalah sesuatu bersifat sementara namun masih bukan sesuatu yang sia-sia.
Tak sia-sia saya melangkah masuk dalam dunia penyiaran radio ini sebab nampak okey (siap menang anugerah).”
“Saya rasa dunia baharu ini saya ‘singgah’ sekejap sahaja. Mungkin dalam masa sesuai saya akan kembali ke alam semulajadi (politik) saya.
Itu saya belum tahu lagi cumanya saya sangat seronok dengan apa yang saya lakukan ketika ini,” katanya selepas sidang akhbar ABP36.
Dalam masa sama, Khairy atau lebih dikenali sebagai KJ itu teruja dapat belajar banyak perkara selama kira-kira setahun berada di kerusi penyampai radio sehingga berjaya meraih anugerah.
“Ini (penyiaran radio) bukanlah dunia saya, saya datang dari dunia yang lain tetapi dalam masa setahun, saya dah boleh belajar banyak benda dalam dunia baharu ini bersama dengan rakan-rakan yang banyak membantu.
Kemenangan ini adalah kemenangan kami semua dan saya dedikasikan buat semua keluarga di Hot FM.”
“Sebagai orang baru dalam bidang media dan hiburan, saya memang tidak layak kalau bukan kerana sokongan dan bimbingan daripada rakan-rakan saya,” ujarnya lagi.
Semalam, KJ berjaya menewaskan empat pesaing iaitu Tyzo, DJ Sonic, Haiza dan Sharifah Shahirah bagi kategori Penyampai Radio Popular.
Sebelum ini, bekas Menteri Belia dan Sukan itu pernah memaklumkan bahawa dia seronok menjalani karier penyampai radio selain menegaskan tiada keperluan untuk kembali ke dunia politik.
KJ mencuri perhatian masyarakat dengan berubah profesion dari dunia politik ke industri hiburan termasuk menjadi penyampai radio Hot FM dan podcaster. – HIBGLAM