PULANG bukan dengan tangan kosong tetapi jiwa penuh dengan rasa cinta.
Itu yang dirasai penulis sepanjang menonton Konsert Ada Afgan & Lyodra: Live in Kuala Lumpur yang berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tepat pukul 9 malam, pentas dibuka dengan persembahan dua figura tersebut menerusi lagu duet Kamu Yang Ku Tunggu nyanyian asal Afgan bersama Datuk Rossa. Baru sahaja lagu pertama, Lyodra berjaya memukau ramai dengan kehebatan vokalnya.
Pentas konsert anjuran Kharisma Music (KM) bersama jenama kosmetik, Alha Alfa, dengan Intan Gelombang dan Futurace itu seterusnya menjadi milik Lyodra yang terus membuai jiwa penonton menerusi lagu Kalau Bosan dan Menyesal.
Vokal penuh bertenaga dan mampu menjangkau nota-nota tinggi ternyata membuktikan penyanyi berusia 21 tahun itu antara yang layak bergelar penyanyi papan atas di Indonesia dalam tempoh terdekat.
Dalam pada itu, Lyodra turut menzahirkan rasa terharu dengan sambutan hebat konsert tersebut yang dihadiri lebih 5,000 penonton.
“Afgan mungkin sudah biasa mengadakan persembahan di sini tetapi malam ini sangat istimewa kerana ini kali pertama saya mengadakan konsert di Kuala Lumpur,” katanya.
Namun, penulis agak kecewa apabila dia mendendangkan Pesan Terakhir secara duet Bersama Afgan dan ‘mashup’ dengan lagu Jodoh Pasti Bertemu.
Itu boleh dikatakan antara lagu paling dinanti ramai namun apabila digabungkan sebegitu, agak pening untuk dihadam.
Meskipun kolaborasi mereka sangat harmoni, lagu popular tidak seharusnya digabungkan.
Dia turut menyapa penonton yang hadir dengan bertanya mengenai kegilaan pencinta muzik Malaysia terhadap lagu putus cinta, kecewa atau galau.
Saya dengar orang di sini suka dengar lagu galau. Namun, saya mahu tahu mengapa jiwa anda terlalu galau?
“Ada yang saya dengar, mereka galau kerana merasakan itu satu hobi. Aneh ya, hobi anda galau?” ujarnya tertawa kecil.
Kemuncak persembahan Lyodra pastinya menerusi lagu Tak Dianggap dan Sang Dewi yang paling ditunggu peminat.
Muncul dengan busana berwarna ungu, penampilan pemilik nama penuh Lyodra Margareta Ginting itu sememangnya persis seorang dewi. Persembahan tersebut boleh dikatakan antara yang ‘memorable’ pada malam tersebut.
Pentas seterusnya diambil alih Afgan yang mempersembahkan beberapa lagu terbaharunya berbahasa Inggeris seperti Shallow Water, Criminal dan Escape sekali gus membuktikan dia seorang penyanyi versatil.
Menghargai sokongan diberikan peminat di sini, Afgan berkata, Malaysia sudah menjadi rumah keduanya.
Bagi penyanyi berusia 35 tahun itu, peminat di Malaysia mempunyai tempat istimewa dalam hati apabila memberi sokongan terhadap hasil karyanya sebagai anak seni sejak 17 tahun lalu.
Malaysia umpama rumah kedua saya dan saya kembali lagi ke sini bagi menjayakan konsert ini.
“Terima kasih kerana masih menerima muzik dan lagu-lagu baharu saya.
“Selama 17 tahun anda masih bersama dan setia sentiasa datang ke konsert saya tanpa rasa bosan. Saya sayang anda semua,” jelasnya.
Persembahan penyanyi tampan berlesung pipit itu tidak terhenti di situ, dia seterusnya berduet dengan Lyodra menerusi lagu Percayalah dan Jika.
Seterusnya persembahan malam tersebut tidak lengkap tanpa lagu ‘wajib’ Terima Kasih Cinta, Bawalah Cintaku, Untukmu Aku Bertahan sebelum Lenggang Puspita dan Panah Asmara menggamatkan Mega Star Arena.
Tirai konsert seterusnya ditutup dengn lagu duet Afgan dan Lyodra.
Segala emosi yang diberikan menerusi persembahan tersebut ibarat ‘cukup rasa’ selain membuatkan penonton meninggalkan dewan acara dengan jiwa berbunga-bunga.