10 tahun berturut-turut, Siti kekal antara Muslim berpengaruh dunia

Penyanyi ternama tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza bersyukur apabila beliau sekali lagi tersenarai dalam The Muslim 500: The World’s 500 Most Influential Muslims bagi edisi 2025.

Menerusi hantaran yang tular dalam aplikasi media sosial X, Siti sudah 10 tahun berturut-turut mengekalkan kedudukannya dalam senarai Top 500 Muslim paling berpengaruh di dunia itu bagi kategori seni dan budaya sejak tahun 2016.

Menurut Siti, dia amat bersyukur menerima penghargaan itu yang selari dengan usahanya dalam membantu rakyat Palestin yang berkait rapat dengan Yayasan Nurjiwa.

“Alhamdulillah saya rasa bersyukur dan terharu untuk tersenarai dalam Top 500 Muslim paling berpengaruh di dunia. Itu satu penghargaan atas apa yang saya lakukan untuk agama juga.

“Walaupun kategori itu untuk anak seni tapi itu juga bersangkut paut dengan Yayasan Nurjiwa yang saya dan suami telah usahakan sehabis baik untuk mereka di Gaza, Palestin.

“Rakyat Malaysia juga yang terkesan dengan bencana alam. Saya lebih memikirkan ke arah itu,” katanya ketika ditemui di majlis sidang media konsert The Journey of Sound: Judika x Datuk Seri Siti Nurhaliza, di sini, hari ini.

Tambah Siti, dengan pengiktirafan yang diraih, menjadikan dia lebih bersemangat untuk memikul tanggungjawabnya untuk terus membantu menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin dan buat mereka yang memerlukan.

“Saya ada tanggungjawab di sana, saya masih ada anak angkat di sana. Malah, pasukan yayasan kami juga ada di sana untuk agihkan bantuan.

“Saya selalu berdoa agar pasukan saya terselamat daripada apa-apa yang berlaku di sana supaya kami dapat terus menyalurkan bantuan kepada mereka,” jelasnya.

Berdasarkan catatan buku yang diterbitkan oleh Royal Islamic Strategic Studies Centre, Amman, Jordan itu, Siti turut tersenarai bersama individu berpengaruh seluruh dunia termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Selain Siti, penyanyi, Hafiz Hamidun turut tersenarai dalam pengiktirafan tersebut bagi kategori yang sama untuk mewakili negara Malaysia. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok