PERKONGSIAN disalah tafsir, pelakon Diana Danielle naik berang apabila segelintir pihak menuduhnya mahu menumpang populariti kes pemandu bas didakwa merakam video kanak-kanak bawah umur yang tular sejak kelmarin.
Menurut Diana, 34, niatnya hanya berkongsi kemas kini tentang kes tersebut selain rasa prihatin dengan lambakan isu mengenai kewujudan golongan pedofil yang semakin membimbangkan.
“Yang kata saya memberi pandangan sebab mahukan perhatian, ikut sukalah! Macamlah daya teruja sangat hendak bercakap tentang pedofilia dalam akaun media sosial.
“Percayalah, kalau saya mahukan publisiti murahan, banyak lagi cara yang berkesan tetapi untuk terkait dengan kes ini, tidak glamor langsung walau sedikit,” katanya dalam InstaStory.
Selain marah dituduh menumpang glamor, bintang Imaginur itu turut menafikan dirinya merupakan individu yang membuat laporan terhadap pihak berkuasa mengenai pemandu bas terbabit.
Ujarnya, dia hanya mengetahu mengenai kewujudan pemandu bas tersebut selepas menjadi bualan hangat netizen sejak semalam.
“Ada pula yang sebarkan saya membuat laporan tentang abang bas itu sedangkan hanya tahu kewujudannya selepas kes tersebut tular.
“Saya juga hanya kongsi pandangan mengenai pedofilia yang sejak kebelakangan ini semakin banyak kes sebegitu muncul dalam media sosial.
“Meskipun ada yang tuduh saya membuat laporan sehingga akaun TikToknya disekat, saya sendiri tidak pernah ‘melawat’ platform media sosial tersebut walau sekali,” ujarnya.
Semalam, seorang pemandu bas ditahan polis dan direman selama lima hari sehingga 10 September selepas didakwa merakam video memaparkan wajah kanak-kanak terutamanya pelajar perempuan untuk dijadikan kandungan media sosialnya.
Perintah reman dibenarkan Majistret Suhaila Safi’uddin, selepas permohonan dibuat Mahkamah Majistret Batu Pahat, Johor. – HIBGLAM