ENGGAN terus dibelenggu isu sakit misteri mahupun insiden ditipu orang terdekat, Andi Bernadee bersedia untuk kembali aktif bagi melonjakkan semula momentum kerjayanya.
Bagi anak jati Sabah itu, peristiwa lampau menjadi pengajaran berharga untuk terus bangkit sebagai individu lebih kuat dan bersemangat menempuh segala dugaan.
Pemilik nama lengkap Andi Azrul Andi Mapangile, 32, itu yakin jalan di hadapannya masih terbentang luas walau industri hiburan dibanjiri ramai bakat baharu selain lebih memberikan fokus terhadap pempengaruh media sosial.
Pernah didakwa tenggelam timbul, Andi juga sudah sedia ‘berkepak’ dengan menghasilkan lebih banyak karya baharu buat halwa telinga khalayak.
“Memang saya mahu terus aktif di pentas dan hasilkan lebih banyak lagu. Biarpun ramai bakat baharu muncul, saya yakin pendengar muzik masih mahu mengikuti lagu baharu saya.
Saya takkan tenggelam timbul lagi seperti tanggapan segelintir pihak. Inilah juga masa tepat untuk menggandakan usaha,” katanya dengan nada teruja.
Sentiasa menguntum senyuman, hakikatnya hati Andi berbunga berikutan bermula fasa baharu dalam kerjaya muziknya.
Kini dia berpayung bawah label gergasi Universal Music Malaysia dengan memeterai kontrak selama tiga tahun.
Keluar dari label lama secara baik, Andi berkata, penghijrahan itu berlaku selepas tujuh tahun bersama syarikat berkenaan.
Sebenarnya saya cuma berubah angin, itu perkara normal dalam setiap pekerjaan. Saya seperti pekerja lain yang mencari peluang di tempat baharu demi memajukan diri.
“Bersama Universal Music Malaysia, saya mahu lebih fokus dalam muzik. Sebenarnya saya ada juga buat ‘shopping’ label dan pilih syarikat rakaman ini kerana nampak hala tuju mereka,” ujarnya.
Andi juga menolak tanggapan wujudnya salah faham atau terjadi pertelingkahan dengan syarikat lama sehingga mengambil keputusan berubah angin.
Tiada masalah pun dengan label terdahulu. Saya masuk cara baik dan keluar pun dengan baik, bahkan mereka hormat keputusan saya dan tumpang gembira.
“Saya juga dibenar menyanyikan lagu yang diterbitkan selain tiada apa-apa hutang rakaman lagu baharu ,” ujarnya ketika ditemui di majlis menandatangani kontrak bersama Universal Music Malaysia, baru-baru ini.
Berkongsi perancangan kerja, penyanyi lagu Satu Peluang itu bercadang merakamkan single Aidilfitri sebagai pengenalan disusuli persembahan jejalah.
Semuanya masih dalam perancangan tapi tahun depan saya akan terbitkan album baharu. Saya masih akan kekal dengan genre ‘Reggaeton’ tapi mungkin akan campur dengan elemen ‘Afrobeat’ iaitu muzik Afrika.
“Kalau album sudah siap, insyaAllah saya akan buat persembahan mini.
“Pada fasa ini saya mahu buka lembaran baharu dan mahu kembali fokus dalam nyanyian,” katanya .
Pengurus telus
Membicarakan soal karier lakonan, Andi berkata, cabang seni tersebut masih di bawah seliaan pengurusnya, Nasir Deraman.
Terlanjur bercerita mengenai pengurus, Andi mengakui selesa diuruskan individu itu sejak lapan tahun lalu yang melancarkan segala urusan kerjanya.
“Kami rapat tetapi tidak mencampuri urusan peribadi yang menjadi kunci saya dan Nasir mampu selesa bekerjasama sampai sekarang.
Selama lapan tahun ini, saya dan pengurus tidak pernah ada masalah malah saya tidak pernah berdepan situasi hilang duit atau kes khianat.
“Antara kami sangat telus dan itu menjadi penguat untuk kami bekerja selain dia tidak mencampuri urusan peribadi saya,” ujarnya.
Menurutnya, kredibiliti pengurus penting bagi artis kerana itu juga menentukan kedudukan serta perkembangan kerjaya seni mereka.
“Penggiat seni memang memerlukan pengurus yang bagus kerana akan ada dua kepala yang boleh melancarkan lagi sesuatu keputusan.
“Contohnya keputusan untuk pindah label juga adalah atas nasihat pengurus, cuma keputusan akhir tetap di tangan saya.
“Apa pun, artis dan pengurus saling memerlukan malah pada masa sama masing-masing mempunyai tanggungjawab tersendiri,” katanya menutup bicara. – HIBGLAM