[VIDEO] ‘Masa kebumi pun, hanya ada papa dan ayah Aslam’

Pempengaruh sensasi, Marissa Dania menegaskan dia tidak pernah mengetepikan ibunya kandungnya Abby Abadi dalam kehidupan.

Hal ini termasuklah ketika Marissa, 19, kehilangan anak sulung yang dilahirkan pramatang pada usia kandungan enam bulan pada Ogos lalu.

“Saya tidak pernah ketepikan mama (Abby) kerana akhirnya mama akan tahu juga. Sebenarnya mama tidak tahu anak saya meninggal kerana Aslam (suami) lebih selesa berkomunikasi dengan papa mungkin sebab lelaki dengan lelaki.

“Malah, semasa pengebumian pun hanya ada papa dan ayah Aslam sahaja,” tutur Marissa.

Mengakui bersedih atas pemergian mengejut anak sulungnya itu, Marissa bagaimanapun reda dengan ketentuan Ilahi.

“Sudah tentu saya sedih, tetapi saya reda dan perlu kuat. Kami (suami isteri) mengharungi dugaan ini bersama-sama.

“Saya okey sahaja dan anggap belum ada rezeki untuk menimang cahaya mata,” luah Marissa.

Dalam pada itu, Abby yang berada di sebelah Marissa mengakui dia hanya mengetahui berita cucu sulungnya meninggal dunia selepas dua hari kejadian tersebut berlaku.

“Saya memang tidak tahu sebab saya tidak ada di sini (Kuala Lumpur). Saya dapat tahu selepas dua hari, bayi pun sudah tidak ada,” kata Abby.

Dalam pada itu, Abby mengakui dia merajuk dengan anaknya kerana tidak dimaklumkan berkenaan berita tersebut sehingga Marissa terpaksa meninggalkan mesej di Instagram penyanyi kumpulan Elite itu.

“Masa itu memang saya merajuk, tetapi tidak ada apa-apa hanya gurauan dan orang ramai mengambil serius perkara itu,” jelas Abby.

Sebagai ibu, Abby atau nama sebenarnya, Arbaiyah Abdul Manan, 47, mahukan yang terbaik dalam kehidupan anaknya, bahkan pernah memberi nasihat sebelum anaknya membuat keputusan hidup berpoligami.

“Kita sebagai ibu boleh beri nasihat tetapi tidak boleh kawal dan atur kehidupan orang lain termasuk anak sendiri.

“Kalau saya tidak mungkin mahu jadi isteri kedua, tetapi dia nak dan boleh jalani kehidupan itu terpulanglah. Perkara sudah pun berlaku, jadi kita okey sahajalah,” luah Abby yang ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta produk makanan tambahan, Berryfull Honey Lemon.

Marissa Dania Hakim yang juga anak kepada pelakon Abby Abadi dan Norman Hakim bernikah di Thailand sebagai isteri kedua kepada Aslam Mazlan, 24, di Songkhla, Thailand pada 25 Disember tahun lalu. – HIBGLAM.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by HIBGLAM (@hibglam.com.my)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok