GELARAN kerabat atau status anak orang bangsawan bukan penghalang buat Tunku Ines Najihah Raden menyahut cabaran terjun ke lembah dunia hiburan menjadi penyanyi secara profesional.
Semestinya, ada suara-suara sumbang yang mempersoalkan kelebihan dimiliki puteri kesayangan Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan, Tunku Datuk Seri Nadzaruddin Tuanku Ja’afar dan Tunku Datuk Seri Mimi Wahida Raden itu sehingga dengan begitu mudah tiba-tiba sahaja menyanyi.
Si cantik yang membahasakan diri sebagai Ines itu bagaimanapun enggan mengendahkan tanggapan segelintir pihak, lebih-lebih lagi, apabila menyentuh perihal keluarganya yang berstatus kerabat diraja Negeri Sembilan.
Ines, 20, hanya ingin menonjolkan bakat dalam arena nyanyian yang diminati sejak kecil, bukan melayan perkara tidak sepatutnya.
Kalau orang cakap saya dapat masuk industri kerana kelebihan berdarah istana, semua itu saya buktikan menerusi kerja keras merealisasikan single nyanyian.
“Jadi, saya sangat berharap orang ramai tidak melihat latar belakang, sebaliknya bakat serta kelebihan vokal saya.
Apabila ada yang sangka saya hanya menggunakan tiket kerabat diraja, saya tak boleh halang tapi tanggapan sebegitu akan dibuktikan tidak benar.
“Bahkan, kata-kata tersebut tidak akan memberi kesan kepada diri dan karier yang saya mahu bina,” katanya.
Takut
Awalnya, Ines tidak terkecuali daripada berasa bimbang untuk menceburkan diri dalam dunia hiburan.
“Pada mulanya saya agak takut untuk masuk ke dalam industri hiburan tetapi selepas menerima sokongan orang sekeliling, saya rasa okey.
Selain itu, saya juga semakin yakin dengan bakat dan diri sendiri untuk melangkah lebih jauh dalam bidang ini.
“Saya cuma mahu orang mendengar muzik dan suara saya dan kalau boleh sehingga ke peringkat luar negara,” tutur peminat kumpulan Blackpink itu.
Ditanya mengenai restu keluarga, Ines bersyukur mendapat sokongan padu daripada keluarga walaupun memegang status seorang puteri.
Keluarga tidak berikan apa-apa syarat untuk bergelar artis dan sentiasa menyokong bidang yang saya ceburi.
“Rasanya, memang tiada masalah sebab mereka bersikap positif, tiada halangan asalkan tetapkan niat serta jaga nama baik,” jelasnya.
Langkah awal Ines memasuki industri adalah dengan mempertaruhkan single berjudul Andai sebagai pengenalan.
“Saya sebenarnya minat menyanyi dan buat persembahan ‘live’ yang kemudian melorongkan saya untuk serius mencapai impian bergelar penyanyi rakaman.
Saya rasa nak meneroka industri hiburan kerana kelihatan sangat menarik. Jadi, tahun lalu saya bulatkan tekad seterusnya mencari lagu.
“Andai yang dicipta Edry Abdul Halim sekitar Mac lalu merupakan lagu pertama saya,” jelasnya.
Bagi memperbaiki lantunan vokal, wanita berusia 20 tahun itu turut mengikuti vokal secara intensif bersama guru vokal, Siti Hajar Ismail selama beberapa bulan untuk memberikan yang terbaik sebagai pendatang baharu.
Saya dapat tunjuk ajar daripada Cikgu Siti Hajar. Dia sangat membantu kemantapan vokal saya.
“Saya pun senang bekerja dengan dia. Saya pilih dia sebab mak cik saya yang perkenalkan dia,” ujarnya.
Ditanya tentang strategi memasarkan lagu pertamanya, Ines enggan menggunakan kontroversi tetapi mahu dikenali dengan bakat yang dia miliki.
Kalau pasal kontroversi, saya tidak mahu ambil tahu sebab saya tak perlukan perkara tersebut.
“Saya cuma nak jual bakat, insya-Allah,” ungkapnya.- HIBGLAM