Sejujurnya, penulis tidak pernah menonton karya animasi francais Transformers, namun filem Transformers One arahan sutradara Josh Cooley ternyata punya kualiti tersendiri yang membuat diri ingin terus menggali sejarah puak Autobots dan Decepticons.
Sebelum ini, dalam fikiran tertanya-tanya hubungan ‘sebenar’ antara Optimus Prime dan Megatron.
Bagaimana mereka mula berseteru, bagaimana hubungan ‘awal’ ketika di planet Cybertron iaitu tempat tinggal asal dua robot terhebat itu.
Kendatipun, segala-galanya kian jelas selepas menonton Transformers One yang ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula hari ini.
Siapa sangka, sebuah karya animasi membuka ‘hijab’ penulis dengan lebih jelas dan bukan yang berstatus live-action pernah dirillis beberapa kali di tangan pengarah Michael Bay.

Transformers One merungkai sejarah mengapa Optimus Prime dan Megatron kini saling berseteru.
Biarpun berstatus filem animasi, ternyata itu tidak menghalang Transformers One untuk memberi pemahaman yang lebih lengkap dan terperinci buat penonton.
Nilai persahabatan
Optimus Prime dan Megatron dahulu sama-sama berjuang untuk memberikan keamanan buat Cybertron. Sama-sama buat kerja ‘gila’ demi menumpaskan Sentinel Prime.
Namun, apa yang ‘menghampakan’ adalah persahabatan antara Orion Pax dan D-16 bertukar menjadi perseteruan terbesar di Cybertron disebabkan ada yang berpaling daripada jalan sebenar.
Itu sedikit-sebanyak sinopsis filem animasi Transformers One. Dari segi alur cerita, boleh disifatkan meninggalkan dampak tersendiri barangkali kerana tiada ‘campur tangan’ manusia berbanding versi live-action.

Ada sebab mengapa Megatron kini dilihat sebagai villain dalam francais filem Transformers dan itu dijawab dalam Transformers One.
Dari segi teknikal termasuk kesan visual, Transformers One benar-benar sangat mengujakan dan tidak sangka, meninggalkan kesan tersendiri kepada audiens atau mereka yang menonton.
Babak ketika Pax dan D-16 cuba menyertai pertandingan secara ‘haram’ walaupun ketika itu mereka hanya berstatus robot lombong masih berbekas dalam minda penulis sehingga sekarang.
Itulah kuasa animasi yang jika dicernakan dengan berkualiti, memang berbekas berminggu-minggu bahkan berdekad lamanya.
Alih suara pelakon elit
Seperkara lagi, elemen lain yang menguatkan atau menambah nilai Transformers One adalah kesan atau efek bunyi yang diadun dalam filem.
Meski sekadar karya animasi, kemenjadian atau kecemerlangan dari segala segi termasuk efek bunyi tidak langsung mengecewakan.
Menyentuh soal komitmen atau kualiti alih suara pelakon terlibat termasuklah Chris Hemsworth sebagai Pax / Optimus Prime, Brian Brian Tyree Henry (D-16 / Megatron) dan Scarlett Johansson (Elita), mereka memang ‘pro’ dalam soal meniup roh terhadap karakter masing-masing.
Secara peribadi bagi penulis, menonton animasi Transformers dari satu sudut memberikan kepuasan yang tiada galang ganti berbanding tontonan versi live-action. Syabas buat Josh Cooley (pemenang Oscar) dan pasukan yang berjaya melahirkan sebuah naskhah luar biasa!

Optimus Prime merupakan autobot yang paling berkuasa di Cybertron dan mempunyai lipatan sejarah tersendiri.