Penyampai radio Hot FM, Fizi Ali bersyukur rutin penjagaan anak ketiga, Nurraisya Sofea yang dilahirkan pada Julai lalu berjalan dengan lancar.
Fizi atau nama sebenarnya Mohd. Hafizudin Alimudin berkata, dia dan isteri, Siti Zulaikha memilih untuk membahagikan tugas memandangkan mereka berpengalaman menjaga anak masing-masing hasil perkahwinan terdahulu.
“Alhamdulillah tiada masalah jaga anak sebab bukan pertama kali saya dan isteri ada anak. Kami menggunakan semua pengalaman sebelum ini untuk membesarkan anak-anak.
“Sememangnya pengalaman lama banyak mengajar kami dan semua itu membuatkan banyak perkara menjadi cekap.
“Ragam ‘baby’ kali ini pun macam ragam anak yang lain, nak susu tengah malam, jadi kami bergilir-gilir, bekerjasama dan semuanya menjadi mudah,” katanya kepada HibGlam selepas sidang media pra kemuncak Anugerah Bintang Popular ke-36 (ABP36), baru-baru ini.
Berkongsi mengenai reaksi dan penerimaan anak sulungnya, Ameena Sofia terhadap Nurraisya, Fizi berkata, perkara tersebut berjalan dengan baik.
“Seperti semua tahu, kami ada hak penjagaan sementara bersama Ameena, yang dipersetujui oleh pihak sana dan juga pihak saya, di mana dua minggu sekali saya akan jaga Ameena.
“Jadi, setiap kali Ameena jumpa adik dia, memang sangat teruja.
“Dia akan cium dan gomol adik dia,” katanya lagi.
Terdahulu, Fizi dan Siti Zulaikha mendirikan rumah tangga pada Oktober tahun lalu dan menerusi perkahwinan terdahulu, masing-masing dikurniakan anak perempuan.
Sebelum ini, Fizi pernah berkahwin dengan pelakon, Shakilla Khoriri pada 18 Januari 2018 namun bercerai pada Disember 2021. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Ameena Sofea. – HIBGLAM