MELUAHKAN rasa rindu, penyanyi dan pelakon terkenal Indonesia Bunga Citra Lestari menitipkan ucapan hari jadi buat Allahyarham Ashraf Sinclair.
Bunga atau lebih dikenali sebagai BCL, memuat naik foto Ashraf yang meniup lilin kek dengan berlatarbelakangkan lagu Gone Too Soon nyanyian Michael Jackson dalam Instagram.
Selamat hari lahir di syurga. Saya rasa seperti banyak yang ingin diucapkan, banyak cerita yang ingin dikongsikan tetapi tidak tahu bagaimana untuk meluahkannya.
“Kamu sangat bermakna bagi saya dan untuk semua orang yang terlalu menyayangi kamu. Semoga merayakan dengan meriah di sana. Saya rindukan kamu,” katanya.
Penyanyi lagu 12 Tahun Terindah itu turut meluahkan rasa sayang dan bersyukur dengan setiap kenangan bersama arwah.
Apa yang boleh saya katakan ialah terima kasih. Terima kasih untuk semua momen indah, semua perjuangan yang kita lalui.
“Kegembiraan dan air mata yang dikongsikan bersama. Terima kasih untuk semua kenangan yang kita ada bersama,” katanya.
Ucapan BCL itu turut mendapat reaksi daripada beberapa kenalan selebriti, peminat termasuk suaminya Tiko Aryawardhana.
BCL dan Ashraf yang berkahwin pada 2008 dikurniakan seorang anak lelaki, Noh Aidan Sinclair, 13.
Ashraf bagaimanapun meninggal dunia ketika tidur akibat serangan jantung pada 18 Februari 2020.
Pada 3 Disember tahun lalu, BCL kemudian berkahwin buat kali kedua dengan Tiko Aryawardhana yang merupakan ahli perniagaan. – HIBGLAM