Soalan bocor ‘Man Rabbuka’ bukan sekadar fiksyen

“MELIHAT itu tidak perlu dengan mata, hanya perlu percaya.”

Demikian antara dialog meninggalkan dampak cukup menginsafkan menerusi naskhah garapan sutradara hebat Indonesia Joko Anwar berjudul Siksa Kubur.

Naskhah tersebut sudah lama ditayangkan di pawagam Seberang namun baru sahaja diluncurkan menerusi Netflix baru-baru ini.

Penulis merupakan antara yang ramai orang yang barangkali punya kesempatan menghabiskan masa menonton filem seram tersebut dan ‘verdict’ atau hasilnya memberikan kepuasan sinematik luar biasa.

SIKSA Kubur bukan hanya kisah seram semata-mata, bahkan terkandung pengajaran tersurat dan tersirat buat pedoman penonton.

Bukan sahaja menginsafkan, namun apa yang dipaparkan dalam Siksa Kubur membuktikan hidup ini memang wajar ada undang-undang dan sewajarnya sebagai manusia, janganlah kita melawan takdir atau hukum alam.

Dari segi tahap keseraman, secara peribadi, penulis memberi markah sembilan per 10 buat Siksa Kubur.

Memang membikin minda berdenyut-denyut mencari fokal alur cerita dan pada masa sama, mencari kebenaran dalam kehidupan.

Joko sebagai pengarah bijak bermain dengan emosi penonton dan tidak terkecuali, beliau tahu bagaimana caranya untuk membuatkan penggemar filem seram ‘terduduk’ dan mencari makna kehidupan atau bernavigasi dalam beragama.

FARADINA cemerlang sebagai Sita dalam Siksa Kubur, garapan pengarah hebat Indonesia, Joko Anwar.

Babak atau adegan ketika Sita lakonan Faradina Mufti ‘bertemu’ kebenaran bahawa memang siksa selepas mati itu memang ada, sangat menggoncang pemikiran.

Visual, pekikan suara dan siksaan yang diadun serta terjemahan lakonan Faradina sangat-sangat membekas sehingga buat penulis berasakan melakukan dosa itu adalah perkara terakhir ingin dikerjakan di muka bumi ini.

Lagi tentang keberhasilan watak Sita oleh Faradina, dia adalah pelakon paling cocok untuk memainkan karakter tersebut dengan wajah ‘non-believer’, mimik muka serta permainan dialog serba mengena.

Selain itu, watak Adil terjemahan Reza Rahadian juga dijayakan cukup terbilang.

ANTARA babak menginsafkan dalam Siksa Kubur yang kini merupakan antara filem carta ‘top’ dalam Netflix.

Momen ketika Adil sedang menguruskan mayat seorang diri sehingga biliknya terkunci, momen itu sungguh mengocak adrenalim, bahkan sehingga ketika tulisan ini dilunaskan. debar masih terasa.

Sinergi atau keserasian lakonan dua teraju utama iaitu Faradina dan Reza sangat hebat dan tidak keterlaluan andai disifatkan, antara yang terbaik pernah dicetuskan sinema Indonesia setakat ini.

Dari segi naratif, terjemahan Siksa Kubur selari judulnya. Memang terseksa memikirkan apa sebenarnya terjadi apabila nyawa kita semua dinoktahkan.

Adakah mereka yang selalu bersedekah atau berdoa meminta ihsan Tuhan itu memang seksaan mereka lebih ringan atau sebaliknya.

FILEM seram Siksa Kubur menjanjikan sebuah pengalaman sinematik luar biasa.

Adakah frasa ‘Man Rabbuka’ (siapa Tuhan kamu) hanya momokan buat orang Islam atau sekadar ‘tahyul’ di jiwa golongan yang suka mempersoalkan kewarasan beragama?

Semua itu terjawab dalam Siksa Kubur yang masih menjadi antara filem terlaris Netflix.

Secara peribadi, ini adalah filem yang terus melazimkan ungkapan keramat, ‘astaghfirullah robbal baroya, astaghfirullah minal khothoya’ yang bermaksud: Aku mohon ampun kepada Tuhannya manusia, aku mohon ampun kepada Allah dari segala kesalahan.

Semoga ucapan tersebut dilazimkan juga dalam bentuk perbuatan, bukan hanya ucapan di bibir kita semua. Wallahualam. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok