LEBIH 20 tahun memikat ramai dengan kelunakan suaranya sudah menunjukkan keampuhan Datuk Seri Rossa antara diva Indonesia yang berjaya mengekalkan kedudukan bukan hanya di negara sendiri tetapi di negara jiran.
Istimewanya selepas dua dekad bergelumang dalam industri, Rossa menghadiahkan peminat Malaysia dengan kisah kehidupan dan juga perjalanan kariernya yang diusahakan sehingga mampu sampai ke tahap ini.
Pemilik nama sebenar Sri Rossa Roslaina Handiyani, 46, bersyukur pihak Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin) membantu dalam membawa filem ini masuk ke Malaysia bagi menyuntik semangat kesungguhan buat khalayak terutamanya dalam kalangan pelajar.
“Alhamdulillah kali ini saya berkesempatan membawa filem All Access To Rossa 25 Shining Years ke Malaysia untuk bercerita tentang perjalanan karier saya dan kehidupan peribadi selama 25 tahun berada dalam industri yang juga diperjuangkan di Malaysia.
“Bangga sebenarnya dapat memfilemkan kisah kehidupan sendiri dan juga lebih kepada berasa syukur memiliki filem sendiri.
“Pihak yayasan Prihatin juga mahu saya bawa mesej positif kepada anak muda jadi saya rasa lega dapat menjadi sebahagian ‘role model’ pelajar untuk bersungguh-sungguh dalam melakukan apa sahaja bidang diceburi,” katanya kepada HibGlam.
Pelantun lagu Hey Ladies itu mahu menunjukkan pemerkasaan wanita selaku ibu tunggal supaya tidak berputus asa dalam apa jua bidang yang dilakukan.
“Banyak cerita yang saya kongsi ada hal-hal positif yang boleh diambil. Saya berasa semua wanita memiliki kekuatan yang luar biasa.
“Cuma kebetulan sahaja saya ada waktu dan peluang untuk bercerita, jadi secara umumnya, (kisah) saya seperti mewakili semua wanita.
“Tidak kira penyanyi atau apa sahaja bidang, jika mahukan karier yang panjang, banyak cabaran yang perlu dilalui,” tuturnya.
Mengenali anak
Dalam filem ini juga, Rossa turut berkongsi kisah peribadi iaitu perceraiannya dengan bekas suami, Surendro Prasetyo atau lebih dikenali sebagai Yoyo yang merupakan pemain drum kumpulan Padi pada tahun 2009.
Di sebalik kisah tersebut, Rossa bersyukur apabila filem ini membuatkannya lebih mengetahui perasaan anaknya semasa dia dan Yoyo berpisah.
“Dalam filem ini juga akhirnya saya terfikir mahu ceritakan kisah peribadi kepada media. Kami pun sudah jadi keluarga tanpa ada pergaduhan.
“Saya sendiri tidak pernah tanya tentang perasaan Yoyo (selepas bercerai) dan hanya baru tahu selepas ditemu bual dalam filem ini.
“Akhirnya, kami sekeluarga semakin mengenali satu sama lain menerusi pembabitan dalam filem ini,” jelasnya.
All Access to Rossa 25 Shining Years dipersembahkan oleh Time International Films dan diarahkan Ani Ema Susanti akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, Singapura, dan Brunei mulai 18 Oktober 2024.
Naskhah ini akan membawa penonton menyelami sisi lain dari kehidupan Rossa yang belum pernah ditampilkan sebelum ini.
Itu termasuklah dari permulaan perjalanan kariernya, perjuangannya sebagai seorang ibu sehinggalah kisah di sebalik konsert solo 25 Shining Years Concert pada tahun 2022 yang menandakan 25 tahun karier wanita itu dalam industri muzik Nusantara. – HIBGLAM