OTAI masih berbisa. Demikian terjemahan paling tepat sebagai gambaran persembahan band ikonik Search menerusi konsert Search Symphonic Live In Kuala Lumpur, Ahad lalu.
Menghimpunkan peminat pelbagai lapisan usia yang pastinya pemuja muzik rock sejati, Mega Star Arena Kuala Lumpur menjadi saksi persembahan gemilang ikon rock, Datuk Amy dan rakan-rakan seperjuangan lain.
Aura dendangan menggamit memori Search tak lapuk dek zaman apabila berjaya menghipnosis sekitar 3,000 penonton yang khayal dibuai seleksi malar segar sejak kumpulan legenda itu mendominasi arena muzik bermula tahun 1980.
Lebih tiga dekad melakar nama dalam arena muzik tanah air meletakkan mereka sebagai kugiran tersohor yang sudah matang dengan sepak terajang dunia muzik tempatan jua Nusantara.
Tepat pukul 9 malam, kemunculan vokalisnya, Amy diiringi barisan kumpulan Search yang lain termasuk Man Kidal, Hillary Ang dan Nasir disambut jeritan penonton yang sudah lama kehausan hiburan langsung daripada kumpulan pujaan mereka.
Amy kekal elegan dengan imej eksklusif dan tidak berlebihan, mengenakan ‘suit’ persis lelaki budiman membuatnya tampak muda dan berbeza.
Konsert berdurasi dua jam itu dinikmati sebaiknya seiring sorakan penuh tenaga penonton tanpa henti membangkitkan lagi gelora jiwa rock yang berlegar memenuhi gelanggang.
Malar segar
Antara repertoire persembahan adalah lagu Gelora Cinta, Langit dan Bumi, Nigina, Kau Pergi diikuti dengan lagu-lagu popular yang pernah mencipta fenomena seperti Rozana dan Diari Habil Qabil.
Amy melantunkan sebanyak 21 dendangan termasuk hits yang pernah menjadi fenomena dalam arena muzik tanah air suatu ketika dahulu bahkan masih berkumandang di corong radio sehingga kini.
Berbekal lambakan seleksi popular sedia ada, Search tidak perlu menahan penonton untuk terus duduk di kerusi dengan memeram lagu hits pada akhir persembahan seperti yang dipraktikkan penyanyi lain.
Diiringi 27 pemain orkestra di bawah pimpinan pengarah muzik tersohor, Datuk Mokhzani Ismail, Search meneruskan kehangatan konsert dengan alunan rock meruntun hati seperti Fenomena, Isi Dan Kulit, Setelah Hujan dan Meniti Titian Usang.
Tidak terhenti di situ, momentum konsert dimantapkan dengan persembahan seakan-akan membawa penonton kembali ke masa lalu menerusi alunan melankolik seperti Gadisku, Kejora dan Ying Dan Yang.
Gagal memberi penonton berehat walau sejenak, Search berjaya membuat audiens tidak senang duduk dek mahu bangun menghayun kepala menikmati ‘lagu kebangsaan’ mereka menerusi dendangan Pelesit Kota, Isabella dan Fantasia Bulan Madu.
Tidak dilupakan juga dendangan lagu sarat makna ciptaan komposer hebat tanah air Datuk M.Nasir berjudul Mentari Merah Di Ufuk Timur dan Bencana yang berjaya membuatkan penonton larut serta ikut sama menyanyi menjiwai setiap bait lirik.
Tiada frasa yang dapat menggambarkan situasi malam bersejarah itu selain ‘epik’. Hampir tiada cacat celanya, suara Datuk Amy jelas lantang seperti dulu-dulu, sistem audio juga tidak terlalu bingit seiring cemerlangnya pencahayaan pentas jua paparan skrin LED.
Tenaga maksimum
Persembahan diteruskan lagi dengan tenaga maksimum seiring sokongan penuh daripada peminat yang sejak awal bersorak demi mereka meskipun sedar konsert sudah hampir melabuhkan tirainya.
Tidak berundur tanpa tiga lagu ‘head banging’ Gotik Malam Edan dan Pawana, sebagai seruan wajib Search merasuk ribuan penonton menggoyangkan kepala seperti sedang kecanduan untuk kembali menyaksikan persembahan sehebat itu pada lain masa.
Stamina Amy yang sudah meniti usia lebih separuh abad itu selayaknya dipuji. Dia tidak sedikitpun menunjukkan rasa kepenatan mahupun semput ketika bernyanyi puluhan alunan bernada tinggi.
Malah, tenaga yang ditampilkan di atas pentas tampak berganda hingga sukar menjangka umur bintang rock terkemuka itu sudah mencecah 66 tahun.
Begitu juga barisan ahli kumpulan yang terdiri daripada Nasir (bass), Man Kidal (gitar) dan Hillary (gitar) yang masih gagah berjuang memainkan instrumen menyokong paduan suara seiring megahnya bunyian orkestra supaya konsert tersebut berlangsung sempurna.
Menutup minggu dengan konsert penuh tenaga seiring susunan semula muzik oleh Rie Tsuji memberi nafas baharu kepada kesemua lagu.
Hakikatnya, hanya usia menghitung angka namun jiwa mereka sentiasa muda remaja bagai ketika era awal kemunculan dahulu.
Penutup dengan lagu Tiada Lagi pada penulis merupakan ‘statement’ cukup kuat bahawa band ikonik seumpama Search tiada lagi sehebat mereka.
Justeru, tidak hairan ramai rakan selebriti enggan melepaskan peluang mengikut malam bersejarah tempoh hari antaranya kumpulan Wings, Spider, Exists, Sixth Sense, Sherry Ibrahim, Neves Pretty Ugly dan Ella.
Konsert malam tersebut menjadi bukti keampuhan kumpulan Search tiada tolok bandingnya. Search, dulu, kini dan selamanya!