‘Saya pelakon, tak mungkin nak bercucuk tanam’

HAMPIR tiga dekad mempertahankan kedudukan dalam industri seni bukan perkara mudah.

Itu diperjuangkan aktres Liyana Jasmay yang membina nama sebagai model komersial dan pelakon seawal usia sembilan tahun.

Berbekalkan rasa cinta mendalam, Liyana tidak pernah lelah mempamerkan bakat yang dianggap sudah sebati dengan diri.

Meskipun sudah bergelar penerbit, Liyana yang mesra disapa Nana menegaskan masih menerima tawaran lakonan asalkan tidak mengganggu jadualnya.

Sebenarnya, saya masih lagi berlakon kalau ada orang nak terima saya.

“Setakat ini tiada sekatan untuk bawa apa-apa karakter. Kalau tak bertindih dengan jadual, saya okey,” katanya kepada HibGlam.

Menurut Liyana, kebarangkalian kurang menerima tawaran lakonan adalah kerana menguruskan tugasan di belakang tabir selain pihak produksi menganggap dirinya sibuk menjaga keluarga.

SETELAH sekian lama tidak muncul dalam layar perak, Liyana kini membintangi filem Baik Punya
Ah Long arahan Datuk Afdlin Shauki. – FIRDAUS JOHARI

“Saya banyak bekerja di belakang tabir apatah lagi sekarang ada syarikat sendiri iaitu Mermaid Studio Sdn. Bhd.

Sejak berkahwin orang seakan berat nak ambil saya berlakon. Mungkin mereka ingat apabila artis wanita mendirikan rumah tangga, mereka akan perlahankan karier.

“Saya pernah berada dalam situasi itu di mana orang tak bagi ‘job’. Agak sedih tetapi itu tidak mematahkan semangat saya,” ujarnya.

Ditanya mengenai kecintaannya terhadap dunia seni, ibu kepada dua cahaya mata itu menyifatkan dirinya seakan terkena sumpahan kerana pasti akan kembali bermain dengan kamera meski sudah punya syarikat sendiri.

“Orang kata macam sumpahan sebab susah mahu tinggalkan industri. Tidak mungkin nak bercucuk tanam atau buat seni bina.

“Saya fokus produksi sekarang. Kalau ada projek Januari hingga Jun, saya tidak akan ambil tawaran lakonan.

“Lagipun syarikat saya tidak besar. Setahun mungkin ada satu atau dua projek sahaja,” jelasnya.

LIYANA bakal menubuhkan sebuah komuniti wanita untuk berkongsi masalah terutamanya isu kesihatan.

Komuniti wanita

Selain itu, pelakon filem Papadom itu meluahkan hasrat mahu menubuhkan sebuah komuniti khas buat wanita berkongsi mengenai apa sahaja perihal hidup terutama isu kesihatan.

“Saya nak tubuhkan komuniti buat wanita terutama golongan ibu supaya rasa selamat untuk kongsikan ‘insecurity’ mereka.

“Zaman sekarang orang suka ‘body shaming’ (mengejek fizikal) atau ‘face shaming’ (mengejek wajah).

“Orang tak faham bahawa kita semua lahir dalam keadaan berbeza bukannya terus jadi Kendall Jenner ataupun Hailey Bieber,” kata anak jati Kuantan, Pahang itu.

Idea menubuhkan komuniti tersebut bermula daripada perkongsian Liyana dalam TikTok apabila ramai pengikutnya kerap bertanya mengenai tip menjaga kesihatan.

“Orang selalu tanya rutin saya dalam TikTok, jadi saya nak kongsikan kepada semua ibu.

“Saya dah lama makan jamu sebab mak ajar. Sekarang saya nak kongsikan rutin saya dengan semua.

“Saya juga berdiet. Orang ingat saya makan banyak tetapi sebenarnya saya buat ‘intermittent fasting’, lima hari tak ambil gula dan kurangkan karbohidrat,” jelasnya.

Berkongsi perkembangan terkini, Liyana membintangi filem terbaharu Datuk Afdlin Shauki berjudul Baik Punya Ah Long.

“Kali terakhir bersama Afdlin dalam Papadom 2 kira-kira 11 tahun lalu. Memang saya nak kembali dalam dunia seni.

“Tetapi sepanjang tempoh itu tiada tawaran yang datang. Kalau ada pun tak berapa menarik.

“Selepas Papadom 2, saya berkahwin dan tak kerja dua tahun sebab ada anak,” ujarnya.

Pelakon, pengarah dan penerbit itu turut berkongsi keterujaannya dapat kembali bekerjasama dengan Afdlin.

“Rasa teruja, alhamdulillah sebab rindu sangat nak berada dalam skrin besar. Dapat pula selepas 11 tahun menyepi.

“Berlakon dalam filem muzikal memang saya nanti-nantikan tetapi gementar memikirkan adakah orang masih boleh terima lakonan saya,” katanya.

Selain Liyana, Baik Punya Ah Long dibintangi Zizan, Johan Afdlin, Chew Kin Wah, Adlin Aman Ramli dan Allahyarham Adibah Nor.

Naskhah itu ditayangkan di pawagam seluruh tanah air sejak 12 September lalu dan meraih kutipan lebih RM1 juta dalam tempoh tiga hari tayangan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok