Seorang individu tidak dikenali berani mati meminta pertolongan dalam bentuk wang daripada pelakon sensasi, Janna Nick selepas ditangkap melakukan kesalahan mencuri.
Menerusi hantaran dalam Instagram Story, Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner, 29, memuat naik tangkap layar memaparkan mesej diterima daripada inidividu tersebut yang mahu meminjam wang berjumlah RM8,500.
“Tolong saya kak, saya kantoi mencuri. Saya memerlukan duit untuk bayar balik tapi saya tiada duit.
“Saya harap sangat akak dapat bantu saya dalam RM8,500. Saya tiada sesiapa. Mereka nak hari (duit) ini juga,” tulis individu tersebut.
Enggan berasa simpati mahupun memberi pertolongan, pelakon filem Jemputan Ke Neraka itu sebaliknya meminta individu terbabit untuk bertaubat dan menyesali perbuatan kejinya itu.
“Orang penat kerja, menyimpan, dia senang je mencuri lepas itu kantoi. Minta orang lain bayar. Bertaubatlah dik.
“Hari ini kita curi, tipu orang, esok Allah balas berkali-kali ganda lebih teruk dari nilai yang kita curi tu. Maaf saya benci orang malas,” balasnya.
Rata-rata netizen senada dengan Janna dan berpendapat orang seperti itu tidak kayak diberi muka, bimbang akan selesa hidup dengan terus meminta.
“Amboi senangnya hidup, kau yang mencuri, kau yang meminta tolong dengan orang, masa buat ada fikir tak,” komen seorang netizen.
“Jangan buat baik dengan orang macam ini, dia akan rasa senang hati dan akan ulangi perbuatan tersebut lagi, malulah sikit jadi manusia,” demikian komen seorang netizen.