Ahli kumpulan Dolla Sabronzo menegaskan dakwaan dia mempunyai hubungan istimewa dengan seorang ahli politik berstatus suami orang selepas tular sebuah video adalah fitnah.
Sabronzo atau Wan Sabrina Wan Rusli, 29, berkata, dia sama sekali tidak pernah mengenali atau mendekati mana-mana individu bergelar ahli politik di negara ini.
Maaf saya tak kenal siapa individu dimaksudkan. Saya pun tak tengok video tersebut.
“Itu bukan saya dan memang tidak ada hubungan dengan mana-mana ahli politik Malaysia. Yakin 100 peratus itu bukan saya,” katanya selepas menjayakan konsert Jiwa Malaysia yang diadakan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada semalam.
Berkongsi lanjut mengenai isu video tersebut, dia berpendapat orang ramai mengaitkan dirinya mungkin disebabkan gaya wanita dalam rakaman tersebut adalah sepertinya.
Saya tidak tahu nak respon apa. Mungkin orang kaitkan sebab perempuan dalam video itu seperti saya, sama gaya.
“Tapi memang bukan saya. Lagipun internet sekarang kreatif,” ujarnya.
Menegaskan dirinya masih solo, Sabronzo memberitahu dia kini ‘bercinta’ dengan kariernya dan tidak mempunyai masa memikirkan soal peribadi.
Dia bagaimanapun berjanji akan memaklumkan kepada peminat sekiranya dia mempunyai hubungan dengan mana-mana lelaki pada masa hadapan.
Ketika ini, hanya fokus kepada karier seni sahaja dan tiada masa untuk perkara lain.
“Kalau nanti saya ada kekasih, saya tidak akan sorok tapi buat masa sekarang masih belum ada,” katanya lagi.
Terdahulu, tular sebuah video memaparkan seorang wanita didakwa mirip Sabronzo memasuki sebuah bangunan sejurus selepas seorang ahli politik tiba di lokasi sama.
Ahli politik berkenaan juga dikatakan pernah mengikat tali pertunangan dengan seorang penyanyi popular namun ikatan itu berakhir dengan perpisahan. – HIBGLAM