Rock Warrior Music Festival bakar semangat rock

TERUS melebarkan sayap, Rumah Produksi Merah milik vokalis Wings, Datuk Awie menganjurkan konsert muzik gergasi yang bakal menghimpunkan band rock tanah air menerusi Rock Warrior Music Festival.

Fiesta yang bakal berlangsung di KL Base, Sungai Besi pada pada 23 dan 24 November depan menjanjikan kepuasan maksimum buat kaki rock sejati.

Gandingan band otai, baharu

Bukan hanya menampilkan band otai seperti Wings, Search (Kid dan Din) dan XPDC, konsert itu turut menampilkan banyak lagi kumpulan termasuk pemuzik generasi baharu.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman berkata, penganjuran Rock Warrior Music Festival adalah usaha Rumah Produksi Merah menghidupkan era kegemilangan muzik rock sekali gus menyatukan peminat generasi lama dan baharu.

Selain itu katanya, Rock Warrior Music Festival juga menjadi  platform terbaik buat kumpulan rock baharu menonjolkan bakat dan memperkenalkan lagu mereka.

“Saya percaya festival ini akan menjadi titik mencorakkan semangat kesatuan dalam kalangan peminat muzik, sama ada  golongan sudah lama menggemari genre rock atau generasi baharu dalam arena muzik.

Selain itu, Rock Warrior Music Festival sebagai medan mengetengahkan pelapis dalam industri muzik rock yang juga platform unik bagi memberi peluang kepada band baharu untuk beraksi serta memperkenalkan karya asli kepada penonton.

“Dengan adanya penekanan diberikan  festival terhadap kepelbagaian bakat, konsert ini turut memperlihatkan komitmen penganjur dalam mempromosikan kepelbagaian dan inovasi dalam industri muzik tempatan,” katanya.

Hiburan dua hari

Awie berkata, Rock Warrior Music Festival bukan sahaja menjadi acara hiburan yang tidak boleh dilepaskan pencinta muzik, malah menjadi tonggak penting dalam mendokong perkembangan bagi genre rock negara ini.

Diharapkan festival ini akan terus menjadi mercu tanda membawa kegemilangan kepada muzik rock, menjana inspirasi dan semangat yang berterusan dalam kalangan peminat muzik” katanya.

Tambah Awie, festival ini juga bakal satu penghargaan kepada para peminat setia muzik rock di Malaysia yang sentiasa menyuntik semangat buat penggiatnya.

“Festival ini untuk semua pejuang muzik rock yang tidak pernah putus asa menyokong genre ini. Kami mahu menghidupkan semula semangat rock dan membawa pengalaman berbeza kepada peminat,” ujarnya.

Kepelbagaian aktiviti

Selain persembahan muzik bertenaga, acara itu turut menawarkan pelbagai aktiviti sampingan bagi menggandakan kemeriahannya.

Ini termasuk menyediakan pelbagai reruai makanan dan minuman, aksesori, gerai jualan eksklusif barangan rock dan banyak lagi sebagai pelengkap fiesta.

Tiket untuk menyaksikan Rock Warrior Music Festival sudah mula dijual sejak 7 September lalu dan boleh didapati secara dalam talian menerusi laman web https://rockwarrior.ubertickets.asia/

Harga tiket untuk dua hari adalah  RM250 bagi Gold (duduk), manakala Silver (berdiri) RM200 dan Bronze (berdiri) RM150.

HARGA tiket untuk dua hari adalah  RM250 bagi Gold (duduk), manakala Silver (berdiri) RM200 dan Bronze (berdiri) RM150.

Selain Wings, penonton juga dapat menikmati persembahan kumpulan Search dan banyak lagi band rock otai dan baharu tanah air. 

XPDC teruja menghidupkan semula semangat rock dan membawa pengalaman berbeza kepada peminat.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok