MENGADU terlalu letih dan tidak bermaya dalam media sosial, peminat menzahirkan kebimbangan terhadap kondisi anggota kumpulan TXT, Soobin yang didakwa mengalami keletihan melampau akibat latihan berterusan.
“Penat sangat, saya rasa separuh mati, mahu makan pun sudah tiada energi.
“Moga saya terus kuat menjalani semua ini, doakan saya terus bersemangat untuk kembali atau mungkin tidak kembali lagi,” ciapnya dalam platform X.
Simpati melihat keadaan jejaka tampan itu, rata-rata peminat menyeru labelnya, HYBE untuk cakna dengan keadaan artis selain tidak terlalu memaksa idola untuk terus berlatih tanpa rehat yang cukup.
“Mohon HYBE tengok artis mereka, janganlah memaksa para idola untuk terus berlatih sampai mereka berasa tertekan,” komen seorang peminat.
“Jangan terlalu kuat bekerja. Kalau kita tidak rehat, badan yang akan paksa diri kita rehat. Dalam keadaan ini, HYBE kena main peranan, jangan tahu kaut untung daripada artis sahaja,” kata seorang lagi peminat. – HIBGLAM