Nur Izzara hadir pada waktu tepat- Alyah

DIANUGERAHKAN permata hati pada waktu tepat, penyanyi Datin Alyah menyifatkan kehadiran anak angkat sebagai kurniaan terindah Allah kepadanya dan suami, Datuk Ramli MS.

Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hassan, 43, berkata, perancangan Tuhan adalah sebaik-baik aturan tanpa perlu dipertikai sama ada dalam soal kehidupan mahupun zuriat.

Hadiah daripada tuhan. Tiada yang terlambat, tiada yang terlewat.

“Semuanya tepat pada waktunya kerana Dia Maha Mengetahui bila dan bagaimana,” katanya menerusi perkongsian dalam TikTok.

Dalam rakaman video berkenaan, penyanyi lagu Kisah Hati itu bersantai dengan suaminya yang juga maestro muzik melayan Nur Izzara yang sudah mencecah usia tiga bulan.

Mereka berdua membawa puteri yang dipanggil Zara itu ke taman permainan dalam sebuah pusat beli-belah.

Menerusi hantaran lain dalam Instagram pula, Alyah mengakui kehidupannya berubah sejak kehadiran puteri mereka.

Bahkan dia bersyukur walaupun si kecil semakin aktif sehingga tidak sempat lagi tampil bergaya seperti sebelum ini, pengalaman menjadi ibu sangat berharga.

Sejak ada Zara saya dah lupa pose maut zaman kegemilangan dulu apabila bergambar.

“Oh tidak, mana nak jaga dia yang tak boleh duduk diam. Mana nak ‘control’ muka lagi.

Tapi saya gembira melalui semua ini dan bersyukur. Terima kasih kepada yang mendoakan Zara,” ujarnya.

Menerusi ruangan komen, netizen turut teruja melihat kebahagiaan yang dikecapi keluarga kecil berkenaan.

“Insya-Allah, Alyah akan jumpa macam-macam pengalaman bersama-sama Zara,” tulis seorang pengikutnya.

Nanti sekejap sahaja masa berlalu. Sedar-sedar dah kongsi mekap , tudung dan baju,” kata netizen lain.

Pasangan terbabit menjaga Nur Izzara sejak dilahirkan namun hanya berkongsi berita gembira itu bulan lalu.

Alyah mendirikan rumah tangga dengan Ramli, 63, atau mesra disapa Tok Ram pada 2013 namun mereka belum dianugerahkan zuriat.

Bagaimanapun, Ramli yang pernah berkahwin dengan pengarah acara muzik, Jennifer Thompson dikurniakan sepasang cahaya mata yang sudah dewasa. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok