MELUAHKAN rasa kesal, pelakon Meerqeen kecewa apabila ada pihak yang memperkecilkan impiannya untuk mencapai kejayaan dalam kerjaya seni.
Meerqeen atau nama sebenarnya Muhammad Shammer Shauqeen Shaiful Izam, 23, berkata, dia kesal apabila masyarakat lebih melihat kelemahan berbanding potensi individu tersebut.
“Guru dan rakan-rakan saya pernah memberitahu saya bahawa impian saya terlalu besar, melebihi kemampuan saya dan mustahil untuk dicapai.
“Sangat mengecewakan mendengar keraguan sedemikian, terutama dari mereka yang sepatutnya memberi sokongan.
“Namun, saya telah sedar bahawa pendapat-pendapat ini selalunya lebih mencerminkan had orang lain berbanding potensi saya sendiri,” katanya dalam satu hantaran dalam Instagram.
Tambahnya, menjadikan sesuatu perkara yang dianggap mustahil itu merupakan salah satu cara untuk menjadi pembakar semangat agar tidak mudah berputus asa.
“Impian yang kelihatan jauh dari jangkauan sering kali adalah yang paling berbaloi untuk dikejar kerana itu akan mendorong kita untuk berkembang, mengatasi cabaran, dan mendefinisikan semula apa yang mungkin,” ujarnya.
Dalam hantaran sama, Meerqeen turut berkongsikan beberapa kejayaan yang telah dicapai sepanjang 2022 yang antaranya menjadi artis tempatan pertama yang berpeluang menjalin kerjasama dengan jenama antarabangsa terkemuka.
Meerqeen juga memberitahu, sepanjang usaha mencipta nama dalam industri bukan mudah untuk dia mencapai seperti apa dimiliki sekarang.
“Perjalanan menuju pencapaian sesuatu yang besar jarang sekali mudah atau lurus. Ia melibatkan kerja keras, ketahanan, dan keberanian untuk terus maju walaupun menghadapi tangkapan skeptikal.
“Saya belajar bahawa impian yang besar itu bukan alasan untuk menyerah, tetapi sebaliknya menjadi motivasi untuk berusaha lebih keras.
“Setiap pencapaian besar bermula dengan kepercayaan bahawa kita boleh melakukan walaupun orang lain berkata sebaliknya,” katanya.
Terdahulu Meerqeen dikritik gara-gara meluahkan hasrat untuk menggenggam trofi Anugerah Akademi atau Oscar.
Menyedari perkara itu sukar untuk dicapai, Meerqeen bagaimanapun tetap tidak berputus asa dan menjadikan setiap kritikan itu sebagai motivasi untuk terus berusaha. – HIBGLAM