Lebih sebulan menjalin hubungan cinta, penyanyi Lana Del Rey akhirnya mendirikan rumah tangga dengan kekasih hatinya yang bekerja sebagai pemandu pelancong, Jeremy Dufrene, semalam.
Menurut sebuah laporan media tempatan, pasangan merpati dua sejoli itu mengadakan majlis perkahwinan di sebuah tasik terletak di Des Allemandes Louisiana, Amerika Syarikat.
Menerusi potongan video yang tular dalam media sosial, Lana atau nama sebenarnya Elizabeth Woolridge Grant, 39, dilihat berjalan ke arah pelaminan dengan ditemani bapanya tercintanya.
Rambut diikat rapi persis seorang puteri, pelantun lagu Summertime Sadness itu kelihatan anggun mengenakan gaun pengantin berwarna putih.
Berdiri sebagai pengantin lelaki pula, Jeremy tidak kurang tampan mengenakan sut hitam dikenakan dengan kasut berwarna coklat.
Sebelum ini, Lana dilaporkan memperoleh lesen perkahwinan daripada Pejabat Pendaftaran Mahkamah Lafourche Parish di Louisiana, Amerika Syarikat.
Sebelum ini, pada Ogos lalu, desas-desus kisah percintaan Lana dengan Jeremy meledak dalam media sosial selepas pasangan terbabit dilihat meluangkan masa bersama bahkan jalan berpegangan tangan di London.
Tidak lama selepas itu, penyanyi tersebut bagaimanapun seolah-olah mengesahkan hubungan dengan Jeremy selepas hadir bersama ke majlis perkahwinan model Karen Elson di New York dan kelihatan serasi mengenakan pakaian sedondon berwarna biru. – HIBGLAM