KECOH isu penangkapan P. Diddy, nama Justin Bieber pula kembali meledak dalam media sosial apabila netizen mengorek kembali cerita bahawa dia pernah ‘berkawan’ rapat dengan penyanyi rap terbabit.
Semuanya tercetus apabila peminat menemui video lama Diddy atau nama sebenarnya Sean John Combs, 54, berdurasi 48 jam memaparkan dokumentasi dirinya bersama Justin yang ketika itu berusia 15 tahun.
Isu berkenaan menjadi lebih hangat selepas penyanyi rap itu ditahan berhubung tuduhan pemerdagangan seks dan serangan seksual sehingga mencetuskan spekulasi bahawa Justin juga pernah menjadi mangsanya.
Menurut sebuah laporan media tempatan, Justin atau nama sebenarnya nama sebenarnya Justin Drew Bieber 30, mengetahui mengenai tuduhan kes jenayah membabitkan mentor dan rakan kolaborasinya itu.
Sumber bagaimanapun memberitahu, Justin enggan masuk campur urusan berkenaan dan memilih untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga.
“Dia (Justin) sedar tentang penahanan Diddy dan semua dakwaan.
“Itu bukan perkara yang dia mahu fokuskan, sebaliknya dia hanya mahu fokus menjadi seorang ayah dan suami yang hebat,” katanya.
Pada 16 September lalu, Diddy dilaporkan ditahan pihak polis di sebuah hotel di Manhattan, Amerika Syarikat.
Mahkamah Persekutuan New York menolak permohonan ikat jamin terhadap Diddy sebaliknya memerintahkan penyanyi terbabit ditahan di penjara sementara menanti perbicaraan kes tersebut.
Sebelum ini, nama pelantun lagu I Need A Girl itu menjadi hangat apabila dikaitkan dengan skandal ‘Freak Off’ yang didakwa memperdaya wanita untuk terlibat dalam aktiviti seksual.
Diddy dikatakan merakam setiap perbuatan tersebut bagi menutup mulut mangsa supaya tidak mendedahkan aktiviti tidak bermoral tersebut secara terbuka.
Skandal tersebut menjadi tumpuan ramai apabila turut mengaitkan ramai selebriti terkenal lain yang ada di antara mereka turut menjadi mangsa kerasukan nafsu Diddy.
Malah beberapa penyanyi rap lelaki seperti Meek Mill, Usher, Rick Ross dan beberapa nama lain turut dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan Diddy.
Mereka didakwa melakukan hubungan seks dengan Diddy sebagai cara untuk mengecap populariti sebagai artis.
Ini bukan pertama kali penyanyi antarabangsa itu terpalit kontroversi.
Pada Februari lalu, penerbit dan komposer Rodney ‘Lil Rod’ Jones memfailkan saman selepas mendakwa Diddy melakukan serangan seksual terhadapnya.
Jones mendedahkan Diddy memaksanya melakukan hubungan seks dengan pelacur tanpa kerelaannya.
Jones turut menyatakan bahawa dia seringkali menjadi mangsa gangguan seksual oleh Diddy sejak tinggal bersama bintang rap itu pada 2022 yang kerap merabanya dalam bilik mandi. – HIBGLAM