PENGARAH Michael Ang berharap kejayaan jaguh badminton negara, Cheah Liek Hou yang membawa pulang pingat emas pada Sukan Paralimpik Paris 2024 diberikan insentif lumayan.
Michael, 48, turut berharap atlet orang kelainan upaya (OKU) tidak dianaktirikan kerajaan memandangkan mereka berusaha keras semata-mata mahu memburu pingat buat negara.
“Tahniah Malaysia menang emas di Paralimpik Paris 2024. Tahniah Liek Hou.
Cuma satu sahaja nak pesan, pastikan mereka ini dapat habuan sama rata. Janganlah anak tirikan mereka.
“Emas dalam Olimpik masih pingat emas. Mereka pun bekerja keras untuk berada di mana mereka sekarang dan membanggakan Malaysia,” katanya menerusi hantaran Instagram.
Rata-rata pengikut turut sependapat dengan kenyataan pengarah filem Kimchi Untuk Awak itu agar memberikan insentif lumayan buat atlet paralimpik negara.
Betul, pendapat saya adalah kementerian seharusnya lebih fokus kepada pasukan paralimpik dari semua segi contohnya bimbingan, fasiliti dan dana kerana peluang untuk dapatkan pingat emas sangat cerah,” kata pengikut.
“Setuju! Malaysia boleh fokus penambahbaikan pembangunan sukan paralimpik juga. Barisan atlet sudah buktikan mereka lebih layak dari segi pengikitirafan dan layanan daripada kerajaan,” ujar peminat.
Berilah habuan kereta, rumah dan wang seperti dijanjikan kepada atlet normal,” nasihat netizen.
Semalam, Liek Hou berjaya meraih pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Paralimpik Paris 2024 selepas muncul juara menerusi acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal).
Kemenangan tersebut turut menyaksikan Liek Hou meraih pingat emas kedua berturut-turut pada temasya sukan terbesar dunia tersebut, sekali gus mempertahankan emas yang dimenangi di Tokyo, Jepun tiga tahun lalu. – HIBGLAM