“SESETENGAH perkara lebih baik dibiarkan sahaja.”
Demikian perkongsian bekas isteri kepada pengarah Syamsul Yusof, Ira Kaza sekali gus menggambarkan pendiriannya untuk kekal tidak bersuara mengulas sebarang isu.
Perkara tersebut diluahkan Ira atau nama sebenarnya Faghirah Fatini Kazaruddin, 29, dalam Instagram bersama emoji mengenyit mata.
Memuat naik hantaran gambar terkini yang menyerlahkan kecantikannya, anak kepada pelakon senior Kazaruddin Saisi itu bergaya persis model profesional.
Mengenakan jaket labuh rona merah cili diacu kasut but hitam bersama tudung tona senada, gaya serta kapsyen disertakannya mengundang pujian netizen.
Rata-rata menganggap cara Ira berdepan kemelut rumah tangga dan menghadapi perceraian ketika perkahwinan belum mencecah dua tahun sangat tenang.
“Dari dulu saya memang suka dengan cara Ira. ‘Stay classy’, tak perlu join drama meroyan yang bodoh,” kata seorang pengikutnya.
“Diam lebih baik, yang diam pasti menang. Cantik Ira. Classy dan vogue,” komen netizen.
“Deepika + Priyanka + Aishwarya. Anda menyerlah seperti selalu. Terus mara ke arena antarabangsa. Wajah anda sangat menarik,” tulis pemilik akaun lain.
Sebelum ini pelakon terbabit mengambil langkah berdiam sama ada ketika perkahwinannya dengan Syamsul menjadi bualan sehingga perceraian mereka pada 5 September lalu.
Malah ketika tiba di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor untuk pengesahan lafaz taklik, Ira juga hanya meminta orang ramai mendoakan yang baik-baik.
Pada 16 Ogos lalu, Syamsul mengejutkan ramai apabila memfailkan perceraian terhadap Ira di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor.
Pasangan terbabit mencetuskan kontroversi apabila mendirikan rumah tangga di Selatan Thailand secara rahsia pada 6 Januari tahun lalu.
Susulan pernikahan tersebut, pelakon Puteri Sarah Liyana pada ketika itu sebagai isteri Syamsul memfailkan perceraian sebelum mereka berpisah pada 14 Jun 2023. – HIBGLAM