“MACAM mana nak berpisah, kalau ke bilik air pun dah rindu.”
Itu pengakuan pelakon Nur Fazura ketika diwawancara genap seminggu bergelar suri yang sah kepada lelaki pilihan hatinya, Fattah Amin pada tahun 2017.
Biarpun jawapan dizahirkan dalam nada gurauan, frasa tersebut menjadi sebutan ramai malah dijadikan bahan untuk mengusik pasangan kekasih atau pengantin baharu.
Tujuh tahun berlalu, hari ini ayat sama diulang seorang netizen dalam ruangan komen sebuah portal berita yang tertanya-tanya punca bintang filem Gol & Gincu itu memfailkan perceraian.
” Dulu Fattah masuk bilik air pun dah rindu, sekarang apa sudah jadi,” tulis seorang netizen.
Ini kerana sejak digandingkan bersama dalam Hero Seorang Cinderella sehingga diijabkabul
pada 27 November 2017, mereka menjadi contoh pasangan selebriti romantis.
Kemesraan kedua-dua artis sensasi itu disukai peminat malah semakin meraih perhatian selepas kelahiran cahaya mata pertama mereka, Nur Fatima Aisya, yang kini berusia empat tahun.
Menerusi komen lain, ada juga pemilik akaun mengungkit pengakuan Fattah yang memuji layanan serta sikap positif isterinya ketika mengulas dakwaan kemelut perkahwinan mereka pada Julai lalu.
“Pergi toilet pun dah rindu, dia tak pernah bagi saya senduk nasi dan tuang air sendiri,” kata netizen lain.
Terdahulu, Fazura memfailkan perceraian terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam, hari ini.
Isu keretakan rumah tangga Fazura, 41, dan Fattah, 33, hangat diperkatakan dalam media sosial apabila mereka didakwa tidak lagi meninggalkan komen atau tanda suka dalam hantaran akaun masing-masing.
Tidak cukup itu, kisah rumah tangga Fazura dan Fattah dibincangkan di sebuah laman sembang hingga menarik perhatian netizen namun kedua-duanya menafikan spekulasi terbabit. – HIBGLAM