Dituduh curang ketika baru empat bulan bergelar isteri mendorong penyanyi Indonesia, Mahalini Raharja membuat laporan polis terhadap pemilik sebuah akaun TikTok yang memfitnahnya.
Pelantun lagu Sial itu meminta individu terbabit mengemukakan bukti dirinya berselingkuh dengan seorang pemain keyboard seperti dihebohkan dalam platform terbabit selain serius meneruskan tindakan undang-undang.
“Sudah ya (lapor polis). Sebelum ini jadual saya dan Iky (suami) pun padat, jadi kami agak sibuk. Sekarang baru ada kesempatan,” katanya dalam perkongsian Instagram.
Isteri kepada penyanyi Rizky Febien itu turut menunjukkan salinan laporan yang sudah dibuat tetapi tidak menyatakan tarikh serta perincian lain.
Sebelum ini Mahalini atau nama sebenarnya Ni Luh Ketut Mahalini Ayu Raharja, 24, meluahkan rasa bengang apabila dituduh menjalin hubungan sulit dengan pemuzik yang selalu bekerja bersamanya.
Perkara itu disebarkan seorang individu dalam TikTok yang dikenali sebagai Hazwa_ mendakwa dia tidak cukup seorang lelaki (suami) sehingga sanggup berlaku curang selain mengheret sekali nama ayah dan keluarganya.
“Buat semua yang ‘termakan’ berita tidak enak di luar sana, saya mohon maaf atas perkara tersebut. Itu semua tidak benar. Akaun yang bernama Hazwa_ di TikTok memang mengundang fitnah.
“Dari dulu suka ganggu saya dan suami sebelum kami menikah lagi dengan membuat konten tidak masuk akal bersama kapsyen tuduhan tanpa bukti sehingga orang percaya.
“Saya dan suami baik-baik sahaja. Saya sudah hantar DM (mesej langsung) pada individu tersebut untuk meminta bukti namun tiada balasan,” ujarnya.
Menurut penghibur asal Bali itu, Rizky juga turut meninggalkan komen meminta pelaku berhenti menyebarkan berita palsu selain bertegas mahu saman malu.
“Dia tutup komen tetapi konten yang ramai orang tengok dia biarkan sahaja. Komen positif peminat saya sudah dipadam dan sekat.
“Jujur saya terkesan. Saya nak berkarya bukan nak isu seperti ini. Jarang saya bersuara kerana kasihan terhadap peminat karya-karya saya,” ujarnya.
Sebelum itu, Rizky juga tampil memberikan kenyataan menerusi laman Instagramnya meminta fitnah jahat tersebut dihentikan kerana dia dan Mahalini dalam keadaan baik serta bahagia.
“Kalau cerita pasal saya, saya akan okey sahaja. Tapi kalau sampai fitnah isteri saya dan bawa-bawa keluarga, saya minta hentikan, kami berdua sedang bahagia,” kongsinya.
Pasangan romantis itu bercinta sejak Februari 2022 sebelum bertunang pada 7 Mei tahun lalu dan disatukan sebagai suami isteri pada 10 Mei 2024. – HIBGLAM