BERTUBUH kecil molek, namun hakikatnya penyanyi dan pelakon Didi Astillah memiliki jiwa teguh yang sukar untuk digoyah biar dirempuh ancaman bertubi.
Kekentalan hati pemilik nama lengkap Dayang Nazilah Awang Astillah itu dapat dilihat sepanjang isu rumah tangga membabitkan kakaknya, Bella Astillah dengan Aliff Aziz
Dilihat lebih selesa tidak campur tangan, wanita berusia 28 tahun itu hanya bersuara ketika perlu tetapi dalam masa sama ‘gagah’ berdiri di belakang kakak kesayangannya itu.
Buka buku baharu
Enggan mengimbau perkara yang sudah berlalu, baginya paling penting kini adalah kesejahteraan Bella bersama anak buahnya, Mohamad Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4.
“Alhamdulillah, buku baharu sudah dibuka dan mereka kini menjalani kehidupan dengan penuh sejahtera dan gembira, itu paling penting.
“Jika diminta contoh wanita hebat, saya simpulkan nama dua individu iaitu kakak saya, Bella Astillah dan ibu kami.
“Mereka juga sumber kekuatan saya untuk jangan gentar menonjolkan bakat,” katanya membuka bicara.
Melihat perjuangan si kakak sebagai seorang ibu sedikit sebanyak membuka mata Didi tentang erti pengorbanan, sekali gus lebih menghargai insan tersayang.
“Sebenarnya jiwa kuat dan kental itu adalah Kak Bella. Saya cuma meminjam semangatnya.
“Dia mungkin pernah melalui fasa terendah dalam kehidupan berumah tangga, tetapi dia bangkit kembali.
“Sebagai adik dan teman akrab, saya menjadi tempatnya meluahkan rasa serta berbahagi soal hati, namun apa yang saya nampak, dia seorang wanita mandiri.
“Semua yang berlaku dalam kehidupannya turut kami sekeluarga rasai. Ibarat cubit peha kiri, peha kanan terasa. Apa pun alhamdulillah, pelangi indah tiba jua,” ujarnya.
Hati dimiliki
Berbunga senyuman tatkala soalan perihal perasaan sendiri pula disuakan, Didi yang sebelum ini jauh daripada gosip liar mengakui hatinya sudah diisi.
Kekasih yang diperkenalkan sebagai Dini Ng dikenali menerusi laman sosial, namun keserasian membolehkan mereka bersahabat biarpun jarak menjadi pemisah.
Katanya, faktor tugas membawa lelaki Tionghua itu berkelana hingga di Korea Selatan, tetapi kini kembali pulang bekerja di tanah air.
“Sebenarnya perkenalan kami agak lucu kerana saya sangkakan dia perempuan bernama Dini. Waktu itu saya buat satu ‘game’ dengan peminat dalam laman sosial.
“Saya pilih Dini sebab nama kami hampir sama, Dini dan Didi. Daripada situlah kami berkawan dan terus kerap berhubung sampai jadi rakan baik. Kawan biasa sahaja masa itu.
“Dua tahun juga persahabatan berlangsung dan kami tidak pernah berjumpa. Sekembalinya ke Malaysia, baru kami bertemu. Sinta kami berputik selepas dia balik ke sini,” katanya.
Mengenai perancangan ke alam rumah tangga, wanita asal Sabah itu tidak menolak andai cepat berjodohan memandangkan dia mengimpikan berkahwin pada usia 28 tahun.
Akuinya, entah kenapa sejak dahulu dia bercita-cita dapat bergelar isteri dan menjadi ibu pada usia yang dirasakan sangat tepat baik dari segi kematangan, mahupun persediaan.
Kekasih ‘kimchi’
Ditanya sama ada tercetus skeptikal terhadap ikatan perkahwinan melihat situasi dilalui Bella, tegasnya setiap kejadian mempunyai hikmah tersendiri.
“Jodoh, ajal, maut adalah ketentuan takdir. Apabila insan terdekat dan orang yang kita saya sayang ditimpa musibah, tentu sahaja meninggalkan kesan.
“Macam saya katakan, sikap dan keperibadian setiap insan itu berbeza. Andai kita jumpa insan yang tepat, kenapa perlu ditangguhkan? Walaupun dia lebih muda, ibu bapa beri restu.
“Memang kami pernah berbincang untuk ke fasa serius.
“Sebagai wanita saya tak boleh lebih-lebih, kurang manis pula. Biar pihak lelaki suarakan. Jika ada jodoh, adalah,” ujarnya ceria.
Menariknya, kekasih Didi yang berusia 25 tahun itu turut berlakon dalam drama berjudul Nasi Lemak Kimchi bergandingan dengannya.
“Kebetulan penerbit kata nak cari penggalas watak lelaki Korea, jadi saya usulkan nama Dini. Tak sangka pula dia terpilih.
“Rasanya drama itu mungkin yang pertama dan terakhirnya sebab dia ada kerjaya tetap. Saya tak paksa pun dia berlakon, cuma suka-suka.
“Lagi pun dari dahulu kalau boleh saya elakkan intim dengan orang dalam industri seni. Bukan tak percaya, tetapi mencari yang berbeza bidang,” ulasnya.
Teruja berkongsi perihal kerjaya, Didi yang baru pulang dari Sabah menjalani penggambaran Kaki Langit Toboh selama 10 hari turut memasang impian menubuhkan sebuah syarikat produksi.
Idea tersebut dikongsikan bersama Bella k yang turut bercita-cita tinggi dalam arena penerbitan.
“Kalau ada rezeki memang nak jadi penerbit. Kiranya dari sekarang kami kena banyak belajar tentang produksi dan kerja belakang tabir.
“Bella pun bersemangat kalau cerita pasal rumah produksi. Walaupun bukan sekarang, kalau tanam impian tentu sahaja kita nak capai,” katanya.
Bukan lagi pramugari
Terlanjur bercerita mengenai cita-cita, Didi berkata kerjaya di awan biru bersama sebuah syarikat penerbangan terpaksa diakhiri berikutan masalah kesihatan yang dihadapi.
Tidak mendedahkan penyakit sebenar, dia yakin ada rezeki lain menanti malah berasa bertuah pernah menjadi sebahagian daripada kru kabin.
“Keadaan kesihatan tidak mengizinkan saya untuk terbang lagi. Apa pun pengalaman sepanjang berkhidmat sangat berharga.
“Dapat berjumpa ramai orang, bekerja dengan kru kabin lain selain sebelum itu melalui sesi latihan hampir tiga bulan menjadi ilmu yang tidak mungkin saya sia-siakan.
“Pada masa sama saya juga gembira dapat memenuhi impian Bella kerana menjadi pramugari juga cita-cita kakak saya,” katanya yang pernah bersama syarikat penerbangan Batik Air pada akhir tahun lalu. – HIBGLAM