SEKSI ke? Saya rasa macam okey sahaja.”
Demikian respons pelakon dan pengacara Elly Arifin apabila didakwa lepas geram selepas bergelar janda apabila semakin seksi sejak bergelar janda.
Elly atau nama sebenarnya, Nurul Elyana Kamalul Arifin, berkata sejak kembali solo sejak empat tahun lalu sehingga ke hari ini tiada sebarang perubahan pada penampilannya seperti diperkatakan segelitir pihak.
“Saya tak rasa saya seksi pun. Penampilan saya sama sahaja walaupun selepas kembali hidup sendiri.
Mungkin sebelum ini orang tak kenal ketika saya bertugas sebagai wartawan dan pengacara. Kini, rezeki saya lebih dalam bidang lakonan dan pengacaraan.
“Apabila ramai kenal, mungkin dari situ mereka sangka saya makin seksi sedangkan tiada apa yang berbeza,” katanya ketika ditemui di majlis Pelancaran Platform Digital GIG Pempengaruh Tempatan Influenstar Asia Dot Com, malam tadi.
Begitupun, pelakon Anak Perjanjian Syaitan 2 itu menghargai sikap prihatin ramai yang tidak putus memberikan nasihat terhadap penampilannya.
Enggan melenting atau ambil hati dengan dakwaan terbabit, bekas pengacara HLive itu berlapang dada menerima segala terguran.
“Saya nak berterima kasih kepada mereka yang prihatin. Mereka yang berikan nasihat pun, saya sangat hargai.
Memang banyak komen saya dapat dalam media sosial. Ikutkan apa sahaja kita kongsi pasti ada yang tegur secara positif atau negatif.
“Saya juga ambil semua kritikan sebagai peringatan demi kebaikan terutama untuk hari mendatang,” katanya.
Sebelum ini, Elly dan pelawak Jiggy Masin pernah mendirikan rumah pada 9 September 2016, tetapi bercerai pada Januari 2020.
Tidak dikurniakan anak, Jiggy kembali mendirikan rumah tangga dengan atlet penerjun negara, Dhabitah Sabri pada 28 April 2023. – HIBGLAM