Bakal kembali beraksi di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 28 September ini, Bunkface mengakui kemunculan di gelanggang gah itu selepas sedekad melengkapkan lagi portfolio mereka.
Kata vokalisnya, Sam atau nama sebenarnya Shamsul Annuar Mohd. Baharom, 36, konsert penuh DFP Showcase: Bunkface! menjanjikan kematangan baik dari segi persembahan mahupun alunan muzik.
“Kami pernah berada di pentas berprestij itu pada 2014 tetapi ketika itu hanya sebagai band jemputan dengan membawakan lima lagu yang tentu sahaja tidak cukup untuk menyuntik kepuasan maksima buat peminat terutama Bunkers.
“Apabila diajukan sekali lagi tawaran memanaskan panggung yang pernah menjadi medan ramai penghibur antarabangsa dan tempatan beraksi, sudah pasti rasa teruja dan gembira bersatu.
“Seiring peningkatan usia serta pertambahan pengalaman, sudah pasti DFP Showcase: Bunkface! menjanjikan persembahan yang lebih energetik dan melengkapkan portfolio kami apatah lagi sebanyak 20 seleksi hits bakal dialunkan nanti,” katanya kepada HibGlam.
Sementara itu, pemain drumnya, Biak pula berkata, penonton akan disajikan dengan ‘bunyi-bunyian’ asli (original) yang tulus daripada Bunkface.
“Lagu-lagu kami tetap akan sama, tetapi selain seleksi hits kami juga akan sampaikan dendangan yang jarang diperdengarkan dalam konsert sebelum ini.
“Bersama durasi persembahan yang lebih panjang, sudah tentu banyak yang ingin kami ketengahkan buat pendengar setia yang menyokong kami selama ini.
“Apa pun, kami tetap menganggap setiap persembahan adalah istimewa yang membulatkan semangat kami untuk memberikan aksi terbaik,” ujarnya.
Menurutnya lagi, Bunkface akan mendominasi setiap inci pentas DFP sepanjang dua jam yang juga membawa khalayak mengembara menerusi rangkaian lagu mereka.
“Kami berbesar hati apabila ramai pendengar lagu kami meninggalkan komen dengan menyatakan sokongan mereka yang tidak sabar mendengar lagu Bunkface berkumandang lagi di DFP.
“Penonton sudah keluarkan wang membeli tiket mengikuti konsert ini, jadi kami mahu mereka merasai pengalaman berbeza seterusnya pulang dengan kepuasan maksima.
“Bagi kami, setiap sen yang dibelanjakan untuk menyaksikan DFP Showcase: Bunkface! adalah berbaloi,” katanya.
Selain Sam dan Biak, band yang mengukuhkan nama di arena muzik sejak 2005 itu turut dibarisi Pa’an (gitar utama) dan Youk (pemain bass).
Tiket konsert berharga antara RM158 hingga RM288 atau tempat duduk suite RM388 dan Rm488 boleh ditempah di [email protected]. – HIBGLAM