‘Buat konsert solo dulu baru fikir tambah anak’

PENYANYI popular Ernie Zakri menafikan dakwaan dia kini sedang hamil anak kedua.

Menurut Ernie atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 32, dia memahami sebab kenapa suaminya Syamel mengambil pendekatan tidak mengiyakan atau menidakkan khabar angin tersebut baru-baru ini.

“Saya faham kenapa suami saya tidak menafikan atau mengiyakan kerana kalau menafikan seolah-olah kita menolak kehadiran cahaya mata baru.

Saya dan Syamel terbuka dan terima seandainya Allah beri rezeki zuriat baharu. Tetapi kami berdua telah pun mempunyai perancangan sendiri iaitu untuk membesarkan Khawla terlebih dahulu.

“Sekejap sahaja lagi. Biar saya buat konsert solo dulu. Lepas tu barulah kita usaha untuk dapatkan adik buat Khawla,” katanya ketika ditemui di konsert Jelajah Suria Kuasa 2 yang berlangsung di Mydin Bukit Mertajam, semalam.

Ditanya adakah Khawla pernah menyuarakan keinginan untuk memiliki adik, kata Ernie anaknya pernah bersuara tetapi meletakkan syarat.

Saya pernah saja-saja tanya dia, Khawla nak adik? Dia cakap dia nak tetapi daddy tak boleh dukung adik tu.

“Itu bermakna dia belum bersedia untuk menjadi seorang kakak. Sebagai ibu saya sangat memahami situasi ini.

Saya sendiri masih menyusun waktu untuk bersama dengan Khawla dek tugasan yang tidak tentu masa. Biar saya luangkan masa secukupnya dengan Khawla terlebih dahulu. Saya pun ada banyak lagi benda yang nak kena belajar sebagai seorang ibu,” katanya.

Pelantun lagu Masing-masing itu juga mahu memberi masa buat tubuhnya agar betul-betul bersedia untuk kembali hamil kerana baru sahaja sembuh selepas melahirkan Khawla secara pembedahan.

“Saya baru sahaja rasa tubuh telah sembuh sepenuhnya. Baru kembali dapat tenaga yang cukup untuk menyanyi dengan baik.

Alhamdulillah suami saya sangat memahami. Katanya ini adalah tubuh saya dan terserah pada saya bila-bila masa saya bersedia untuk hamil lagi,” kongsinya.

Beralih perihal kerjaya, kata Ernie dia kini sibuk dengan perancangan mengadakan konsert solo tidak lama lagi.

Walau bagaimanapun butiran lanjut mengenai konsert itu belum boleh didedahkan dan akan dimaklumkan menerusi sidang media dalam masa terdekat.

Ernie dan Syamel berkahwin pada 22 Mac 2021 selepas berkenalan menerusi program Duo Star pada 2016.

Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Khawla Soleha yang kini berusia 2 tahun. – HIBGLAM

 

 

View this post on Instagram

 

A post shared by HIBGLAM (@hibglam.com.my)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok