Pelakon Azhar Sulaiman menasihatkan pendatang baharu agar tidak mudah lupa sekiranya sudah meraih populariti sebagai seorang selebriti.
Menurut Azhar, 54, sikap meninggi diri tidak seharusnya ada dalam diri seorang artis sekiranya ingin kekal lama dalam industri seni.
“Apabila sudah ada harta, kuasa dan nama, jangan poyo sangat apabila kita bercakap.
“Ingatlah sikit, kita hanya orang biasa sahaja, jadi jangan berlagak sangat apabila ada populariti itu,” katanya kepada HibGlam selepas sidang media majlis pengumuman malam kemuncak Anugerah Bintang Popular (ABP) ke-36 di sini, baru-baru ini.
Tambah Azhar, bukan sahaja sifat sombong, dia juga memberitahu memiliki wajah yang kacak juga tidak menjamin seseorang artis kekal relevan.
“Dalam industri ini, kalau muka kacak sahaja tak menjaminkan apa-apa. Semuanya tetap bergantung kepada tuah dan rezeki.
“Kalau muka kacak macam mana pun tetapi jika Tuhan tak buka rezeki itu, tetap tidak ke mana,” jelasnya.
Mengulas mengenai hasrat beberapa pelakon baharu yang menyasarkan untuk meraih trofi anugerah antarabangsa seperti Oscar, Azhar berkata tidak salah untuk memiliki impian sebesar itu.
Meskipun begitu, dia meminta agar berpijak di bumi nyata dan tidak memandang rendah dan meremehkan usaha serta kewujudan pelbagai platform yang ada dalam negara untuk memantapkan industri seni tanah air.
“Tidak salah untuk mempunyai cita-cita yang tinggi tetapi jangan sesekali memperlekehkan usaha segelintir individu lakukan untuk industri seni kita termasuk penganjuran anugerah yang kecil-kecil ini.
“Kalau nak bandingkan dengan Datuk Michelle Yeoh atau Henry Golding, kita perlu lihat semua perjalanan mereka untuk sampai ke tahap sekarang.
“Jadi, sebagai pelakon terutamanya pendatang baharu perlu meraikan pelbagai platform, ruang dan acara yang boleh bantu menaikkan lagi kerjaya mereka. Jangan perlekeh platform yang sedia ada,” katanya lagi.
Tambah pelakon drama Keluarga Iskandar itu, setiap pelakon juga perlu menggunakan pelbagai platform dalam talian dan media sosial untuk mempamerkan bakat di mata dunia.
“Selain itu, kita sudah ada banyak platform penstriman yang boleh bantu pamer bakat pelakon tempatan di mata dunia.
“Kalau ada yang memandang bakat mereka, itu rezeki,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Azhar, pelakon, Beto Kusyairy turut berpendapat seseorang artis itu perlu berpijak pada bumi yang nyata sebelum memasang angan-angan untuk meraih anugerah antarabangsa terutamanya Oscar. – HIBGLAM
View this post on Instagram