BERDEPAN fasa perceraian dengan tenang, bekas isteri kepada Syamsul Yusof, Ira Kaza menyibukkan diri dengan ligat mempromosikan produk jualan.
Ira atau nama sebenarnya atau Faghira Fatini Kazaruddin, menjadikan platform TikTok sebagai gelanggang berniaga terutama barangan kecantikan dan penjagaan diri.
Dalam hantaran terbaru, Ira mendendangkan lagu nyanyian asal Yuna, Terukir Di Bintang sambil menunjukkan koleksi minyak wangi keluaran syarikat seorang usahawan selebriti.
Mempamerkan wajah ceria, langsung tidak kelihatan tanda dirinya berduka selepas perkahwinan dengan pengarah sensasi itu berakhir pada 5 September lalu.
Paling menarik perhatian adalah kelunakan vokalnya yang dikatakan sebahagian besar pengikut sebagai suara seorang penyanyi berbakat besar.
Rata-rata juga meminta pelakon terbabit mengikut jejak langkah ayahnya, Kazaruddin Saisi untuk bergelar aktres dan penyanyi.
Sebelum itu, Ira dilihat mempromosikan gincu yang disifatkan netizen menyerlahkan lagi kejelitaannya ketika mencuba beberapa warna berbeza.
Bahkan ada dalam kalangan peminat memuji iras wajahnya yang disamakan dengan aktres Bollywood tersohor, Deepika Padukone.
Tidak kurang juga individu lain memberikan sokongan moral terhadapnya yang dilihat kental berdepan kecaman biarpun selepas rumah tangganya musnah.
Andai sebelum ini Ira dicop dengan pelbagai panggilan kasar kerana didakwa sebagai punca perceraian Syamsul dan Puteri Sarah Liyana, kini ramai mula menunjukkan simpati kepadanya.
“Lupakan kisah sedih, bangkit dan mulakan hidup baru. Kerja cari duit,” kata peminat.
“Lawa dia ni, manis. Bagus pilih untuk diam,” tulis seorang netizen.
“Walau banyak cemuhan, dia pilih berdiam. Ini yang saya suka tentang dia. Lagi dicemuh lagi dia diam dan tenang,” ujar seorang lagi pengikut.
Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor mengesahkan wujudnya lafaz cerai taklik dilakukan Syamsul terhadap Ira ketika pasangan itu masih bergelar suami isteri.
Pada 16 Ogos lalu, Syamsul mengejutkan ramai apabila memfailkan perceraian terhadap Ira di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor.
Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga di Selatan Thailand pada 6 Januari tahun lalu.
Susulan pernikaha tersebut b, pelakon Puteri Sarah Liyana pada ketika itu sebagai isteri Syamsul memfailkan perceraian sebelum mereka berpisah secara rasmi pada 14 Jun tahun lalu. – HIBGLAM