PELAKON Rita Rudaini berang apabila kejayaan anak sulungnya Airit Rayyan Rizqin, 15, memecahkan beberapa rekod Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Sabak Bernam 2024 baru-baru ini dikaitkan dengan bekas suaminya, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Radzak.
Lebih membuatkan rasa amarahnya kian meledak apabila sebuah portal melabel pemain bola sepak itu sebagai ‘legenda’ kelab bola sepak ternama tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Siapa legenda JDT itu? Celah mana? Apa kaitan degan anak yang aku jaga.
“Saja nak viral cara jahat. Aku penat bela sejak kecil, tiba-tiba tajuk (berita): ‘Anak legenda JDT’. Kepala hatok hang,” luahnya menerusi Instagram Story.
Terdahulu, anak sulung Rita, Airit Rayyan meraih pujian ramai apabila bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga hebat dalam bidang sukan apabila memecahkan rekod acara balapan pada Kejohanan Olahraga MSSD Sabak Bernam 2024.
Airit Rayyan berjaya memecahkan rekod acara 100 meter (m) kejohanan tersebut selepas 20 tahun.
Kongsi Rita atau nama sebenarnya, Rita Rudaini Mokhtar, 48, Airit yang merupakan pelajar cemerlang Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar mencatatkan rekod baharu kejohanan dengan catatan masa 11.44 saat (s).
Airit juga berjaya memecahkan rekod kejohanan menerusi acara 200m dengan catatan 23.81s.
Terdahulu, Airit juga berjaya memperoleh keputusan cemerlang dengan gred purata nilai 3.99 pada peperiksaan semester di MRSM Sungai Besar.
Rita berkahwin dengan Aidil Zafuan pada 2008 namun berpisah pada September 2013. – HIBGLAM