PERSETERUAN lama hangat kembali, nama penyanyi rap terkenal, 50 Cent meledak dalam media sosial apabila dia menyindir penyanyi P. Diddy menerusi satu hantaran dalam media sosial selepas lelaki terbabit ditahan pihak polis di New York City.
Penahanan berlaku susulan tuduhan berat terhadap P. Diddy atau nama sebenarnya Sean John Combs, 54, termasuk pemerasan, pemerdagangan seks, dan kes pelacuran.
Dalam dokumen dakwaan yang dibuka oleh pihak pendakwa raya persekutuan, Combs dilaporkan menggunakan ugutan dan penderaan terhadap mangsa bagi memenuhi kehendak nafsunya.
Pelantun lagu Closer To God itu juga didakwa memaksa wanita-wanita terbabit terlibat dalam aktiviti seksual yang dirakam, dikenali sebagai ‘Freak Offs’.
Lebih mengejutkan, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) mendedahkan hasil siasatan di kediaman Combs di Miami dan Los Angeles, lebih 1,000 botol minyak bayi serta pelincir telah dirampas.
Susulan pendedahan tersebut, 50 Cent dilihat mengambil kesempatan menyindir Combs dengan memuat naik gambar dirinya dengan kapsyen sinis yang ditujukan kepada musuh tradisinya itu.
“Di sini saya bersama @thedrewbarrymoreshow, dan saya tidak menyimpan 1,000 botol pelincir di rumah,” katanya ketika muncul dalam rancangan bual bicara, The Drew Barrymore Show.
Bukan itu sahaja, dia juga memuat naik foto minyak bayi dengan tertera tulisan ‘Diddy Oil’ pada botol minyak tersebut yang membuat ramai netizen geli hati.
Sindiran tajam lelaki terbabit sekali gus meledak dalam media sosial memandangkan hubungan kedua-dua bintang hip-hop itu sememangnya keruh sejak berbelas tahun lamanya.
Setakat ini, Combs mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan, dan kes ini dijangka bakal berpanjangan dalam tempoh beberapa bulan akan datang. – HIBGLAM