‘Tuhan tak ajar dengan keganasan, tetapi kebaikan’

MEMBAWAKAN watak sebagai ‘kapla’ filem Kahar: Kapla High Council, pelakon Amir Ahnaf mendedahkan pernah berhadapan dengan pengalaman hitam apabila menjadi mangsa buli di sekolah. 

Membuka semula lembaran kisah lama, Amir atau nama Muhammad Amir Ahnaf Mohd Khairudin, 24, berkata, dia bersyukur insiden itu tidak mematahkan semangatnya untuk menamatkan pengajian di sebuah sekolah berasrama penuh. 

Ujarnya, walaupun hal itu telah lama berlalu, namun ‘sisa’ trauma yang ada tetap kekal dalam ingatan sekali gus menolak perbuatan samseng itu dijadikan amalan para pelajar di sekolah. 

“Masa di sekolah sekitar tingkatan satu atau dua dulu, saya sendiri pernah kena buli. Namun, apa yang boleh saya katakan benda itu sudah lepas. 

“Benda yang lepas itulah yang membentuk diri saya sekarang. Kalau tiada perkara sebegitu, saya mungkin tidak begini (cekal) sekarang,” katanya. 

Amir yang ditemui pada acara Kahar: Kapla High Council Wrap Party itu turut mengatakan dia tidak menjadikan aktiviti buli itu sebagai tempat untuk ‘mencipta’ keberanian atau menguji kekuatan. 

“Saya tidak menggalakkan aktiviti buli itu berlaku kerana perbuatan tersebut adalah cara yang teruk kerana boleh meninggalkan trauma kepada mangsa. 

“Secara peribadi, saya sangat bersyukur kerana berjaya mengatasi trauma tersebut dengan baik. Bayangkan kesan tindakan itu ‘merebak’ kepada orang lain contohnya, darah daging sendiri.

“Kemudian kita wujudkan satu generasi yang mana perbuatan serangan fizikal itu dianggap sebagai satu hal biasa kepada anak, cucu mereka,” terang Amir panjang lebar. 

Kesedaran 

Disebabkan itu, dia berhasrat untuk menyebarkan kesedaran tentang bahaya buli dan kesan negatif yang mampu tercetus 

Bukan sahaja akan memberikan kesan trauma yang berpanjangan, tetapi buli juga mampu mengakibatkan kecederaan fizikal sehingga berpotensi mengakibatkan cacat kekal. 

Menggunakan kelebihannya sebagai pelakon, Amir mengharapkan penonton dapat melihat keburukan buli yang disampaikan menerusi filem Kahar: Kapla High Council.

AMIR mengharapkan penonton mendapat pengajaran tentang bahaya buli yang dipaparkan dalam filem Kapla: High Council.

“Pertama Tuhan tidak mengajar kita dengan keganasan. Tuhan menghendaki kita sentiasa melakukan kebaikan.

“Setiap kebaikan itu bukan sahaja perlu dinyatakan dengan kata-kata, tetapi perkara itu boleh dibuat dengan perbuatan, seperti menggunakan pertuturan yang lembut atau melontarkan senyuman,” katanya.

Kata Amir, penonton perlu terbuka dan melihat filem tersebut daripada pandangan positif berbanding menitikberatkan soal keburukan.

“Setiap daripada kita mempunyai persepsi masing-masing, tetapi paling penting saya telah melaksanakan tugas iaitu menyampaikan moral kepada penonton.

“Paling penting juga, kita perlu melihat perkara itu berdasarkan perspektif positif iaitu moral filem tersebut yang mempamerkan sisi gelap aktiviti buli.

“Jadi semua itu berbalik kepada hati. Jika hati mahukan sesuatu yang baik, pasti kita akan berusaha ke arah itu dan berjaya mendapatkan hasil yang baik,” nasihatnya.

Selain Amir, filem Kahar: Kapla High Council  yang akan ditayangkan di pawagam November depan turut membariskan pelakon lain antaranya Aedy Ashraf, Sky Iskandar, Thompson Goh dan Khenobu.

Selain itu, pelakon Fadhli Masoot, Fazziq Muqris, Nadhir Nasar, Naim Daniel, Yusof Hashim (Ucop), Sathisvaran, Hushairy Hussain, Ameer Asyraf dan Hasnul Rahmat juga  membintangi filem arahan Razaisyam Rashid itu. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok