TIGA tahun berlalu, ingatan terhadap Allahyarham Siti Sarah terus mekar bahkan bapanya, Raisuddin Hamzah tidak sedetik pun melupakan anak kesayangan.
Ibu tiri penyanyi itu, Siti Fatimah Suberi, 36, atau mesra disapa Mak Der mendedahkan mereka menziarahi pusara arwah bertepatan tarikh pemergiannya pada 9 Ogos lalu bagi mengubati kerinduan.
“Genap tiga tahun pemergianmu Siti. Rasa sayu pedih masih terasa hingga ke saat ini.
“Rindu awak Siti Sarah Raisuddin,” katanya dalam perkongsian video dalam TikTok.
Menerusi video berlatarkan lagu berjudul Kamu dan Kenangan, dapat dilihat Raisuddin menghadiahkan doa buat arwah.
Menerusi ruangan komen, ramai netizen menzahirkan kerinduan yang sama selain mengakui kehilangan Siti Sarah turut memberi impak kepada mereka.
Bahkan, rata-rata dapat merasakan kepedihan dilalui bapanya apabila zuriat tercinta pergi dulu menyahut panggilan Allah.
“Tiga tahun pergi, tiga tahun juga rakyat Malaysia menangisi pemergian Siti Sarah,” tulis seorang peminat.
“Satu-satunya artis yang masih ditangisi setiap kali mendengar lagunya. Moga syurga buatmu,” kata pengikut lain.
Allahyarham Siti Sarah meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 pada 9 Ogos 2021.
Pemergian penyanyi lagu Kesetiaan itu ditangisi ramai apatah lagi ketika itu arwah baru melahirkan anak bongsunya menerusi pembedahan kecemasan.
Selain Ayash Affan, 3, perkongsian hidup dengan pelawak Shuib, diserikan tiga lagi cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 13, Dzahira Talita Zahra, 11, dan Ariq Matin, 8. – HIBGLAM