VIDEO muzik meraih 38 juta tontonan, kumpulan De Fam tidak berhasrat menukar lirik Alamak Raya Lagi! menjadi versi lagu kontemporari demi memenuhi permintaan segelintir pihak.
Akui ahlinya, Che Manggis atau nama sebenar Nurshazwani Shamsuddin, 34, mereka ingin dendangan yang mencetuskan fenomena itu kekal asli serta utuh sebagai lagu raya malar segar untuk dinikmati generasi akan datang.
“Memang dendangan yang diterbitkan pada Syawal lalu itu kerap dapat permintaan biarpun bukan pada musim perayaan.
Sudah tentu kami berbesar hati melihat populariti Alamak Raya Lagi! menjadi pilihan ramai pada bila-bila masa.
“Cuma, jika disarankan buat satu lagi versi bukan berasaskan elemen raya, bagi kami tidak perlu kerana mahu kekalkan originaliti serta eksklusiviti sebagai lagu raya ‘evergreen’,” katanya kepada HibGlam.
Selain Cik Manggis, trio yang dibarisi dua lagi anggota iaitu Azira Shafinaz dan Sophia Liana mengakui mempunyai beberapa dendangan kontemporari yang bakal dilancarkan dalam masa terdekat.
Sekali gus, kata Azira, tiada keperluan untuk menukar seni kata lagu sedia ada demi mengejar ‘likes’ sehingga merosakkan keaslian Alamak Raya Lagi!
Sebenarnya De Fam bakal melancarkan single baharu dalam masa terdekat tetapi tajuknya belum boleh kami kongsikan lagi.
“Lagu ini mengembalikan konsep awal De Fam ketika awal kemunculan kira-kira sembilan tahun lalu yang sudah semestinya memenuhi keinginan pendengar,” ujarnya ketika ditemui pada sidang media After Race Fest, baru-baru ini.
De Fam bersama 6ixth Sense bakal sepentas dengan penyanyi rap Amerika Syarikat (AS), Maclemore dan band rock AS yang popular pada era 1990-an, Smash Mouth di Helipad Litar Antarabangsa Petronas Sepang (SIC), pada 3 November depan.
Turut merancakkan persembahan mega After Race Fest bersempena perlumbaan MotoGPTM itu ialah Feel Koplo serta kumpulan dari Indonesia, Nidji. – HIBGLAM